Sabah sediakan pemeriksaan kesihatan percuma untuk rakyat

Hajiji Noor. Foto Bernama
Hajiji Noor. Foto Bernama
A
A
A
KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah akan menyediakan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada rakyat di negeri itu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kabinet negeri bersetuju untuk melaksanakan perkhidmatan itu di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

"Sebagai permulaan, inisiatif ini akan dilaksanakan di 10 daerah.

"Pelaksanaannya adalah melalui perkhidmatan secara bergerak menggunakan van khas yang dilengkapi dengan peralatan canggih untuk sampai ke kawasan luar bandar," katanya ketika menghadiri mesyuarat Kabinet di Menara Kinabalu di sini pada Rabu.

Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan lain, Hajiji berkata, Kabinet Sabah turut meluluskan penubuhan Majlis Logistik Sabah.

"Majlis Logistik Sabah ini adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya Sabah yang akan meneliti penggubalan dasar, pengurusan dan pemantauan isu logistik di Sabah," katanya.

Selain itu, Hajiji berkata, Kabinet juga bersetuju untuk membenarkan penggunaan bahan binaan konvensional berbanding Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi pembinaan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).

Katanya, antara punca kelewatan menyiapkan Rumah Mesra SMJ ialah kontraktor tidak dapat menjalankan projek menggunakan bahan IBS disebabkan kosnya.

"Dengan melonggarkan syarat, kami berharap pembinaan Rumah Mesra SMJ akan lebih cepat," katanya.

Artikel Berkaitan: