Mara akan takrifkan semula definisi B40, M40, T20 - Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan mentakrifkan semula kategori golongan berpendapatan B40, M40 dan T20, kata pengerusinya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, takrifan berkenaan tidak wajar dilihat pada aspek pendapatan isi rumah semata-mata.

"Perlu ambil kira tanggungan seperti anak-anak, orang tua dan faktor bandar-luar bandar. Mara akan mulakan (takrifan semula)," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Ketika ini, kategori B40 ditakrifkan sebagai isi rumah dengan pendapatan bulanan bawah RM4,850.

Bagi M40 pula atau golongan pertengahan, untuk isi rumah berpendapatan bulanan RM4,851 hingga RM10,970.

Golongan T20 yang merupakan golongan berpendapatan tinggi pula dengan pendapatan bulanan RM10,971 ke atas.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada Jun tahun lalu memaklumkan, pengkelasan B40, M40 dan T20 akan dihapuskan secara berperingkat mulai tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau dipetik berkata, kerajaan juga sedang cuba meminimumkan ralat pengecualian subsidi yang berlaku akibat pengkelasan kategori gaji, namun ia perlu dijalankan secara berperingkat.

Dalam pada itu, Asyraf menambah, realitinya kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh.

"Perbezaan hambatan dan cabaran kehidupan di bandar dan luar bandar memerlukan satu kaedah yang lebih holistik, adil dan saksama dengan mengambil kira pendapatan boleh guna bersih satu-satu keluarga.

"Sebagai contoh, satu keluarga yang berpendapatan RM5,000 dengan tanggungan lima orang anak, menjaga ibu yang sakit dan tinggal di bandar walaupun dianggap kategori M40 tapi hakikatnya bila dikira pendapatan boleh guna bersih adalah seperti B40," katanya.