NUBE gesa PM bubar kartel bank tindas pekerja B40, M40

Solomon
Solomon
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya membubarkan kartel bank apabila dilihat menindas pekerja bank kumpulan B40 dan M40.

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, bank syarikat berkaitan kerajaan (GLC) enggan memberikan gaji pokok sebulan sebagai bantuan perayaan kepada kumpulan berpendapatan rendah seiring dengan objektif kerajaan.

Katanya, keengganan bank-bank berkenaan jelas menggambarkan kedegilan mereka.

"NUBE mengalu-alukan komitmen kerajaan untuk melindungi kebajikan pekerja seiring keuntungan dinikmati. Bagaimanapun, sangat mengecewakan apabila GLC beroperasi bertentangan dengan arahan kerajaan.

"Oleh itu, kami gesa Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan supaya menangani amalan eksploitasi dengan membubarkan kartel bank korup seperti ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berpendapat, tindakan itu bagi menjajarkan amalan sektor perbankan dengan objektif kebajikan pekerja oleh kerajaan seterusnya memastikan perkongsian keuntungan secara berekuiti.

"Keputusan yang dibuat oleh wakil GLC terlibat menggambarkan ketidakadilan teruk kepada semua pekerja bank kumpulan B40 dan M40.

"Mereka sesuka hati melanggar perjanjian yang sedia ada dengan NUBE. Perjanjian itu menyatakan minimum gaji sebulan sebagai bantuan perayaan, dengan pihak bank diberi pilihan untuk menawarkan jumlah lebih tinggi jika mereka mahu," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Solomon, produktiviti pekerja sektor kewangan meningkat 15 peratus pada 2021 hingga 2023 berbanding tempoh 2018-2020, yang membawa kepada hasil lebih tinggi oleh setiap pekerja.

"Memandangkan margin untung ini, bank-bank berkenaan amat mampu memberikan jumlah melebihi gaji sebulan untuk bantuan perayaan.

"Pengurangan jumlah bantuan perayaan khususnya dengan sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi meletakkan tekanan kewangan terhadap pekerja yang telah menjangka menerima sokongan seperti dijanjikan," jelasnya.