Bursa Malaysia kukuh pada tengah hari

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia kukuh semasa mengakhiri sesi pagi Rabu dengan indeks utama kekal melebihi paras psikologi 1,500 berikutan kesediaan untuk mengambil risiko dalam bursa tempatan terus positif menjelang keputusan mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Pada jam 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.42 mata kepada 1,502.53 daripada 1,496.11 pada Selasa.

Indeks barometer, yang dibuka tinggi 1.05 mata kepada 1,497.16, bergerak antara 1,497.16 dan 1,504.44 sepanjang sesi.

Suasana pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 545 berbanding 365 manakala 414 kaunter tidak berubah, 963 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.42 bilion unit bernilai RM1.42 bilion.

Menurut Rakuten Trade Sdn Bhd, belian saham di Bursa Malaysia semalam kekal dalam keadaan terkawal.

"Kami masih melihat paras 1,500 sebagai paras halangan yang sukar dan perlu dilepasi untuk mengekalkan trajektori indeks meningkat.

"Justeru, hari ini, kami menjangka indeks akan berada dalam julat 1,490 dan 1,500 manakala peningkatan semula dalam kalangan saham permodalan kecil telah mengurangkan tekanan buat masa ini,” katanya dalam nota penyelidikan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM yang mengadakan mesyuarat pertamanya pada tahun ini akan membuat keputusan mengenai OPR hari ini.

Kebanyakan ahli ekonomi mengunjurkan MPC akan mengekalkan OPR pada 3.00 peratus.

Bank pusat telah mengekalkan OPR pada 3.0 peratus pada mesyuarat terakhirnya pada 2023.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank dan CelcomDigi, masing-masing menambah satu sen kepada RM4.36 dan RM4.25, CIMB meningkat 10 sen kepada RM6.12, Petronas Chemicals naik dua sen kepada RM6.81 manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM6.00.

Maybank merosot satu sen kepada RM9.08, Tenaga Nasional berkurangan lapan sen kepada RM10.42 dan Hong Leong Bank susut empat sen kepada RM19.08.

Daripada saham aktif, Widad Group dan Leform, masing-masing tidak berubah pada 18.5 sen dan 19.5 sen, Handal Energy merosot satu sen kepada 10 sen manakala YNH Property naik 4.5 sen kepada 65.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 47.29 mata kepada 11,191.47, Indeks FBM 70 menambah 45.11 mata kepada 15,170.83, Indeks FBMT 100 naik 42.74 mata kepada 10,844.78 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 29.73 mata kepada 11,268.58.

Bagaimanapun, Indeks FBM ACE merosot 5.47 mata kepada 4,848.41.

Mengikut sektor, Indeks Hartanah naik 11.09 mata kepada 914.23, Indeks Perladangan meningkat 32.61 mata kepada 7,188.41, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 1.25 mata kepada 175.0, Indeks Tenaga naik 4.79 mata kepada 862.95 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 39.81 mata kepada 16,741.27.

Bursa Malaysia dan anak-anak syarikatnya akan ditutup esok bersempena cuti umum Thaipusam. Operasi akan disambung semula pada Jumaat. - Bernama