Pembantu kedai makan maut kemalangan

Seorang pembantu kedai maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan. Pix Ihsan PDRM
Seorang pembantu kedai maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan. Pix Ihsan PDRM
A
A
A

TEMERLOH - Seorang pembantu kedai makan maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer (KM)123 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.23 pagi itu, mangsa iaitu seorang lelaki berusia 23 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang mangsa dan kereta jenis Perodua Axia.

"Kemalangan berlaku apabila pemandu kereta dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur.

"Apabila sampai di lokasi kemalangan, dipercayai pemandu kereta sedang bergerak dari bahu jalan sebelah kiri untuk masuk ke jalan utama," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ujarnya, semasa sedang bergerak, terdapat sebuah kereta warna putih membuat pusingan U di hadapan pemandu Axia.

"Pada masa yang sama, datang penunggang motosikal dari arah belakang telah mengelak ke kiri lalu terlanggar Axia di bahagian depan kanan.

"Akibat dari pelanggaran tersebut, penunggang motosikal telah meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, pemandu Axia iaitu seorang lelaki berusia 76 tahun tidak mengalami kecederaan manakala kereta putih itu masih belum dikenal pasti.

Tambahnya, mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) dan bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian swab Covid-19 diperolehi.

Katanya, siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.