Chelsea mara fantastik ke final Piala Liga

Palmer sumbang dua gol buat Chelsea di London. Foto Agensi
Palmer sumbang dua gol buat Chelsea di London. Foto Agensi
A
A
A

KELAB Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea mara ke perlawanan akhir Piala Liga dengan menewaskan Middlesbrough 6-1 dalam perlawanan separuh akhir kedua pada Rabu, memberikan pengendali Mauricio Pochettino sedikit kelegaan selepas prestasi hambar separuh masa pertama musim ini.

Kelab London yang berbelanja besar berada di kedudukan kesembilan EPL, telah mensia-siakan banyak peluang dalam perlawanan pertama dua minggu lalu yang dimenangi Middlesbrough 1-0.

Namun di Stamford Bridge, The Blues meletakkan penanda aras jurang kualiti antara pasukan Liga Perdana dan Liga Kejuaraan apabila menoktahkan perlawanan keputusan agregat 6-2.

"Hari ini kami sangat klinikal di hadapan gol. Kami terlepas pada perlawanan pertama dan kami kecewa.

"Hari ini kami sangat baik dan saya rasa itulah perbezaannya," kata Pochettino.

Sementara itu, Middlesbrough hadir ke London berstatus kehilangan pemain utama akibat kecederaan menyaksikan The Boro ketinggalan 0-4 separuh masa pertama bermula dengan jaringan sendiri kapten Jonny Howson pada minit ke-15.

Cole Palmer kemudiannya menambah dua lagi gol untuk Chelsea pada minit ke-42 dan ke-77, sebelum Morgan Rogers menjaringkan gol hiburan buat angkatan Boro kendalian Michael Carrick pada minit ke-88.

"Ya, saya amat gembira untuk menjaringkan dua gol dan melangkah ke Wembley, saya gembira.

Artikel Berkaitan:

"Kami tidak mempunyai permulaan terbaik, ya tidak ada menyembunyikannya tetapi untuk pergi ke Wembley adalah peluang yang baik untuk mendapatkan trofi dan kami menantikannya," kata Palmer.

Sementara itu, Pochettino memuji kecerdasan Palmer yang telah menjaringkan 10 gol pada musim pertamanya bersama Chelsea.

"Dia pemain dengan bakat luar biasa. Ia adalah pemain yang memahami permainan. Dia mempunyai kualiti dan bakat untuk melihat situasi dan membaca permainan dalam aspek lain," kata pengendali kelahiran bumi Argentina itu.

Chelsea, pemenang lima kali Piala Liga, yang paling terbaru pada tahun 2015, akan bertemu sama ada Liverpool atau Fulham, dalam perlawanan akhir Wembley.

Sebagai rekod, The Blues terakhir mara ke final dua tahun lalu, namun tewas kepada Liverpool menerusi penentuan sepakan penalti.