Lelaki maut terjatuh rumah bot di Tasik Temenggor

Pasukan bomba dan penyelamat menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dalam kejadian lemas di Tasik Temenggor, Gerik pada Selasa.
Pasukan bomba dan penyelamat menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dalam kejadian lemas di Tasik Temenggor, Gerik pada Selasa.
A
A
A

GERIK - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh ketika sedang mengikat tali sauh rumah bot di Tasik Temenggor di sini pada Selasa.

Mangsa, Muhamad Zulfaqar Zulkarnaen, 33, yang difahamkan anak seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) itu ditemui sekitar jam 11.18 malam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian terbabit jam 6.20 petang.

Menurutnya, susulan itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

"Mangsa dilaporkan tiba-tiba terjatuh dari bot kecil houseboat semasa sedang menambat tali sauh di Tasek Temenggor.

"Susulan itu, operasi pencarian dilakukan pasukan penyelamat di permukaan air dengan dibantu lain-lain agensi serta orang awam seramai 31 orang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sabarodzi berkata, operasi pencarian turut dibantu dengan tujuh buah bot, masing-masing daripada bomba, polis serta bot orang awam.

Menurutnya, pada 11.18 malam, mangsa ditemui oleh adiknya serta rakan-rakan yang membuat pencarian menggunakan bot persendirian.

Artikel Berkaitan:

"Mereka membuat pencarian menggunakan bot persendirian serta melaksanakan casting pancing pada permukaan tasik yang menyebabkan tersangkut pada badan mangsa seterusnya ditarik naik ke atas bot.

"Mangsa ditunda menggunakan bot ke jeti untuk diserahkan pada pihak polis bagi tindakan selanjutnya," katanya.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada jam 12.30 tengah malam Rabu.