Kemahiran bacaan Braille makin membimbangkan

OKU cacat penglihatan, Naimah Mansor, 58, (tengah) membaca Al-Quran Braille ketika mengikuti kelas pengajian Al-Quran di pejabat Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia, (Pertis) Wilayah Terengganu hari ini. -Foto Bernama
OKU cacat penglihatan, Naimah Mansor, 58, (tengah) membaca Al-Quran Braille ketika mengikuti kelas pengajian Al-Quran di pejabat Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia, (Pertis) Wilayah Terengganu hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA NERUS - Kecanggihan teknologi komunikasi yang ada di telefon pintar ketika ini menyebabkan kemahiran menguasai bacaan berasaskan Braille dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan semakin membimbangkan.

Pengerusi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia, (Pertis) Wilayah Terengganu, Mohd Fauzi Mansor berkata, situasi itu berlaku disebabkan ramai OKU ketika ini menghadapi masalah penglihatan ketika sudah berusia atau lebih dikenali sebagai buta dewasa.

"Bagi OKU cacat penglihatan sejak lahir, mereka memang dihantar ke sekolah pendidikan khas untuk mendapat pendidikan formal dan mereka mahir menguasai bacaan Braille.

“Namun ramai juga OKU cacat penglihatan sejak akhir-akhir ini disebabkan masalah kesihatan seperti diabetes kronik, sakit saraf atau hilang deria penglihatan akibat kemalangan yang kebanyakan mereka tidak mahir dalam menguasai bacaan Braille kerana tidak mempelajarinya,” katanya kepada Bernama di pejabat Pertis dekat Seberang Takir, di sini hari ini.

Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, terdapat 2,099 OKU cacat penglihatan berdaftar pada tahun lepas namun hanya 400 orang yang berdaftar dengan Pertis Terengganu.

Menurutnya, situasi itu turut disebabkan ketiadaan sekolah yang menawarkan perkhidmatan mempelajari Braille kecuali badan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertis.

Mohd Fauzi berkata, ramai juga yang beranggapan kemahiran Braille hanya sesuai untuk golongan OKU cacat penglihatan sedangkan orang normal juga boleh mempelajarinya sebagai kemahiran tambahan.

"Pertis Terengganu mengadakan kelas bacaan al-Quran Braille tiga kali setiap minggu dan sangat menggalakkan agar lebih ramai menyertai kelas ini pada masa akan datang supaya kemahiran ini tidak luput dalam kecanggihan teknologi zaman moden ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, penjawat awam, Aziz Musa, 51, berkata, beliau mula mempelajari bacaan termasuk al-Quran Braille selepas menghadapi masalah penglihatan pada 2014 akibat penyakit saraf dan doktor mengesahkan beliau sangat berisiko menjadi buta.

"Susulan itu, saya menghubungi Pertis untuk mempelajari al-Quran Braille kerana ia adalah inisiatif saya agar masih boleh membaca al-Quran dengan lancar sekiranya Allah mengambil semula nikmat penglihatan saya.

"Ia satu bonus untuk saya belajar ketika mata masih elok kerana kita boleh melihat butiran Braille dengan jelas berbanding teknik sentuhan untuk mereka yang kehilangan deria penglihatan sepenuhnya," katanya yang hanya boleh melihat dalam jarak dekat dan mengakui penglihatannya semakin merosot sejak kebelakangan ini.

Bagi Afzan Ameera Ahmed, 29, yang cacat penglihatan sejak kecil pula, beliau hanya mengambil masa dua bulan untuk menguasai kemahiran membaca al-Quran Braille dengan baik.

"Dari kecil saya dah belajar Braille tulisan rumi dan tahu asas bacaan Braille dalam tulisan jawi, jadi tidak sukar saya menguasainya dalam tempoh yang singkat.

"Walaupun banyak aplikasi dalam telefon pintar yang membantu golongan cacat penglihatan untuk berkomunikasi sama seperti individu normal lain, saya tetap menggalakkan agar golongan OKU dapat menguasai kemahiran membaca Braille dengan baik kerana ia adalah asas untuk mendapatkan lebih banyak ilmu pada masa depan," katanya. - Bernama