Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ketiga berturut-turut

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.92 mata kepada 1,496.11 daripada 1,491.19 ketika ditutup pada Isnin.
Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.92 mata kepada 1,496.11 daripada 1,491.19 ketika ditutup pada Isnin.
A
A
A

BURSA Malaysia ditutup tinggi pada sesi dagangan ketiga berturut-turut pada Selasa disokong oleh sokongan belian berterusan dalam saham berwajaran tinggi terutamanya saham berkaitan perbankan, menjelang keputusan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM).

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.92 mata kepada 1,496.11 daripada 1,491.19 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks penanda aras itu dibuka tinggi naik 1.37 mata kepada 1,492.56 dan bergerak dalam jajaran 1,490.2 hingga 1,500.39 sepanjang sesi dagangan hari ini.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 511 berbanding 470 manakala 465 kaunter lain tidak berubah, 862 tidak diniagakan dan 13 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 5.16 bilion unit bernilai RM3.33 bilion daripada 4.79 bilion unit bernilai RM3.12 bilion pada Isnin.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, FBM KLCI didorong oleh pembelian saham berkaitan perbankan menjelang keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM esok.

Beliau berkata, kebanyakan pakar ekonomi menjangkakan MPC akan mengekalkan OPR pada 3.00 peratus.

"Memandangkan kadar inflasi telah menurun kepada 1.5 peratus dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) stabil pada 3.4 peratus, mungkin adalah lebih baik untuk mengekalkan OPR pada kadar semasa,” katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Apex Securities Bhd Kenneth Leong berkata pasaran tempatan mengambil petunjuk daripada perkembangan positif pada prestasi semalaman Wall Street dengan keuntungan sebahagian besarnya didorong oleh perbankan dan saham wajaran tinggi berkaitan Petronas apabila harga minyak mentah meningkat lebih tinggi dengan harga minyak Brent menghampiri US$80 setong.

"Melangkah ke hadapan, pemulihan lanjutan dijangka kekal berlaku dalam persekitaran keadaan pasaran yang lebih tenang dengan indeks utama diunjurkan ke paras psikologi 1,500.

"Pelabur akan memantau keputusan dasar monetari BNM esok dan kami menjangkakan bank pusat mengekalkan kadar faedah penanda aras tidak berubah,” katanya.

Dalam kalangan saham perbankan, Maybank melonjak lapan sen kepada RM9.09, CIMB naik lima sen kepada RM6.02, Public Bank menambah satu sen kepada RM4.35, Hong Leong Bank meningkat 10 sen kepada RM19.12 dan RHB Bank naik tiga sen kepada RM5.60.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Tenaga meningkat dua sen kepada RM10.50, Petronas Chemicals melonjak lapan sen kepada RM6.79, IHH Healthcare naik tiga sen kepada RM6.00, CelcomDigi menambah satu sen kepada RM4.24 bagaimanapun Press Metal merosot satu sen kepada RM4.77.

Bagi saham aktif, Widad Group melonjak lima sen kepada 18.5 sen, YNH Property meningkat 5.5 sen kepada 61 sen dan Leform naik 1.5 sen kepada 19.5 sen, manakala Sarawak Consolidated, Rapid Synergy dan Minetech tidak berubah masing-masing pada 43.5 sen, RM1.95 dan 15.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas menambah 21.96 mata kepada 11,144.18, Indeks FBMT 100 meningkat 21.75 mata kepada 10,802.04 manakala Indeks FBM Emas Shariah melonjak 6.14 mata kepada 11,238.85 dan Indeks FBM ACE naik 20.08 mata kepada 4,853.88.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 79.61 mata kepada 16,701.46, Indeks Perladangan naik 5.07 mata kepada 7,155.8, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian melonjak 0.32 mata kepada 173.75, dan Indeks Tenaga menambah 3.81 mata kepada 858.16, bagaimanapun Indeks hartanah turun 2.46 mata kepada 903.14.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menguncup kepada 2.96 bilion unit bernilai RM2.91 bilion daripada 3.03 bilion unit bernilai RM2.79 bilion pada Isnin.

Selain itu, jumlah waran berkurangan kepada 654.67 juta unit bernilai RM81.17 juta berbanding 663.47 juta unit bernilai RM98.55 juta sebelumnya.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangannya meningkat kepada 1.54 bilion saham bernilai RM333.45 juta daripada 1.09 bilion saham bernilai RM223.62 juta sebelum ini.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 301.9 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (888.94 bilion), pembinaan (207.03 juta), teknologi (182.34 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (122.64 juta), hartanah (802.17 juta), perladangan (36.12 juta), REIT (23.29 juta), dana ditutup (42,500), tenaga (163.53 juta), penjagaan kesihatan (58.61 juta), telekomunikasi dan media (36.98 juta), pengangkutan dan logistik (47.67 juta) serta utiliti (91.99 juta).

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya akan ditutup pada Khamis, 25 Januari sempena Thaipusam, operasinya akan disambung semula pada hari Jumaat, 26 Januari. - Bernama