PdP hibrid selesaikan masalah kekurangan guru

Kah Woh (depan, tiga dari kiri) menyaksikan sesi PdP hibrid antara SJKC Mun Yee dengan Sekolah Haixin, Qingdao, China sempena DIMIX@Karnival Digital pada Selasa.
Kah Woh (depan, tiga dari kiri) menyaksikan sesi PdP hibrid antara SJKC Mun Yee dengan Sekolah Haixin, Qingdao, China sempena DIMIX@Karnival Digital pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembelajaran dan pengajaran (PdP) hibrid menjadi salah satu kaedah penyelesaian bagi mengurangkan masalah kekurangan guru di negara ini sekarang.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, kaedah hibrid itu akan dapat mengatasi kekurangan guru dalam mata pelajaran tertentu.

"Kaedah hibrid juga dapat memastikan sesi pembelajaran lebih anjal dan dapat dilaksanakan dengan jumlah murid yang ramai.

"Menerusi pendekatan ini juga, guru akan lebih fleksibel dalam mod pengajaran, begitu juga murid dalam mencapai bahan pembelajaran mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis perasmian penutup DIMIX@Karnival Digital bertemakan Terokai Teknologi Pendidikan anjuran bersama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Hisense Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Yee di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan Kementerian Pendidikan, Zainal Abas dan Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Roslan Abu Hassan.

Menerusi program itu, Kah Woh turut menyaksikan sesi PdP hibrid antara SJKC Mun Yee bersama Sekolah Haixin, Qingdao, China dan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seri Rampai.

Kah Woh berinteraksi bersama guru Sekolah Haixin, China pada sesi PdP hibrid sempena DIMIX@Karnival Digital pada Selasa.
Kah Woh berinteraksi bersama guru Sekolah Haixin, China pada sesi PdP hibrid sempena DIMIX@Karnival Digital pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Ketika ini dianggarkan lebih 55 buah sekolah di Kuala Lumpur sudah menjalankan PdP secara hibrid termasuk SJKC Mun Yee dan jumlah itu dijangka akan terus meningkat.

PdP hibrid juga dijangka akan dijalankan secara meluas di seluruh negara seiring dengan Dasar Pendidikan Digital Negara yang dilancarkan November lalu.

Melalui pelaksanaan pendidikan hibrid itu, sesi PdP boleh berlangsung tanpa sempadan secara serentak walaupun di negara lain.

Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, PdP hibrid menggabungkan dua pendekatan, iaitu secara bersemuka dan dalam talian.

Justeru, menurutnya, terdapat sebilangan murid belajar bersemuka, sementara sejumlah yang lain akan mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

"Ini dilaksanakan secara bergilir dengan jumlah murid dalam beberapa kelas akan dipecahkan kepada dua kumpulan dan mengikuti pembelajaran berdasarkan jadual diberikan oleh sekolah," katanya.