RUMAWIP projek sakit, pemaju hadapi masalah kewangan - Aiman Athirah

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Status kemajuan Projek Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), Residensi Hektar Gombak masih tertangguh berikutan masalah kewangan yang dihadapi oleh pemaju.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, projek tersebut masih diklasifikasikan di bawah kategori sakit.

"Residensi Hektar Gombak mengalami kelewatan berbanding jadual kerja yang ditetapkan dalam Perjanjian Jual Beli (PJB) dan telah gagal untuk disiapkan dalam tempoh tersebut.

"Status kemajuan sebenar di tapak kekal sebanyak 84.75 peratus dan kerja-kerja di tapak hanya minima dan tidak memberikan kemajuan yang signifikan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad, pembeli RUMAWIP, Residensi Hektar Gombak melahirkan rasa kecewa apabila hasrat memiliki kediaman sendiri belum tercapai kerana projek rumah mampu milik itu masih terbengkalai.

Projek Residensi Hektar Gombak dimulakan pada 2017 dan melibatkan sebanyak 2,400 unit kediaman berkeluasan 800 kaki persegi serta 850 kaki persegi, masing-masing dijual pada harga RM266,000 hingga RM299,000.

Bagaimanapun, difahamkan projek itu sudah terbengkalai selama lebih setahun, namun pembeli rumah berkenaan sudah mula membayar ansuran bulanan penuh sejak Disember 2022.

Beliau berkata, pihaknya akan terus membantu pemaju bagi mendapatkan bantuan pinjaman kewangan untuk menyiapkan projek tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, pemaju hendaklah akur dan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh institusi kewangan bagi memastikan dana pinjaman diluluskan.

"KPKT sedia memperhalusi alternatif terbaik untuk membantu pemulihan projek perumahan sakit terutamanya bagi rumah mampu milik demi kemaslahatan pembeli rumah yang terpaksa menanggung pembiayaan perumahan di samping kos menyewa rumah sedia ada," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!