Tiga beranak cemas diacu parang penyamun bertopeng

Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian selepas menerima maklumat kejadian samun melibatkan sebuah keluarga di Hutan Melintang pada Isnin. Foto ihsan pembaca
Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian selepas menerima maklumat kejadian samun melibatkan sebuah keluarga di Hutan Melintang pada Isnin. Foto ihsan pembaca
A
A
A

BAGAN DATUK - Tiga beranak berdepan detik cemas apabila diacu parang oleh lima lelaki bertopeng dalam kejadian samun di sebuah rumah di Parit 15, Sungai Pulau dekat Hutan Melintang, di sini pada Isnin.

Dalam kejadian itu, penghuni rumah yang juga pasangan suami isteri warga emas berusia 69 dan 66 tahun sedang tidur manakala anak lelakinya berusia 39 tahun tengah menunaikan ibadah di bilik tidur.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, maklumat diterima pada jam 4.14 pagi dan pasukan daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak digerakkan bagi menjalankan siasatan.

"Dalam kejadian itu, mangsa yang sedang beribadah telah dipukul dengan hulu parang di belakang badan sebelum suspek mengacu parang ke leher dan mengikat kedua belah tangannya.

"Suspek kemudian membawa mangsa ke bilik tidur ibu bapanya dan mengikat tangan bapa mangsa menggunakan cebisan kain cadar," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, kelima-lima suspek disyaki warga asing itu bertindak menggeledah rumah mangsa dan melarikan barangan berharga termasuk dua motosikal dengan anggaran kerugian sekitar RM39,500.

"Suspek melarikan barangan kemas, telefon bimbit, beg tangan, wang tunai serta motosikal jenis SYM dan Honda EX5.

"Kumpulan itu turut mengugut mahu membunuh mangsa dan ahli keluarganya jika membuat laporan polis," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Adnan berkata, Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) telah hadir bagi membantu siasatan.

"Hasil siasatan berjaya menimbulkan sembilan cap jari dan merampas barangan milik suspek yang ditinggalkan di tempat kejadian.

"Dalam kejadian itu, kesemua mangsa tidak mengalami apa-apa kecederaan serius," katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Fa'eqa Razak di talian 017-4415342 atau 05-6299222 bagi membantu siasatan.