Tiada pemimpin, penyokong PN berani bertemu saya - Rafizi

Rafizi beri peluang kepada pemimpin, penyokong pembangkang mengkirtik beliau menerusi podcast 'Yang Bakar Menteri' yang diterbitkannya.
Rafizi beri peluang kepada pemimpin, penyokong pembangkang mengkirtik beliau menerusi podcast 'Yang Bakar Menteri' yang diterbitkannya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendedahkan tidak ada penyokong dan pemimpin pembangkang setakat ini yang berani bersemuka dengannya dalam podcast ‘Yang Bakar Menteri’ (YBM) terbitannya.

Rafizi menerusi X berkata, walaupun pejabatnya telah menghubungi ramai pemimpin dan aktivis maya Perikatan Nasional (PN) yang berpotensi untuk mengkritiknya dalam podcast YBM, sehingga kini semuanya telah menolak.

“Selain dari YB Viral, senarai pemimpin dan aktivis maya PN yang tidak berani bersemuka termasuklah YB Wan Fayhsal (Machang), YB Pendang, Solisidtor, Hawa Yaakob dan Sufi Kamari.

“Saya tidak akan putus asa dan akan terus menghubungi lebih ramai pemimpin dan aktivis maya PN untuk menyahut cabaran membakar saya secara langsung. Jangan hanya berani mengkritik di belakang tetapi tidak berani memberi pandangan membina di depan,” katanya pada Isnin.

Jelasnya, ada dari kalangan bekas pemimpin PH yang menawarkan diri. Perkara ini diambil kesempatan oleh aktivis maya PN untuk mengelak, kononnya saya tidak berani bersemuka dengan individu tertentu.

“Matlamat podcast YBM ialah memberi keutamaan kepada penyokong dan pemimpin PN untuk bersemuka, supaya rakyat dapat menilai sendiri hujah kerajaan berbanding pembangkang.

“Pemimpin PH (atau bekas pemimpin pun) memang sudah ada peluang untuk menyampaikan pandangan kepada saya, sama ada melalui saluran kerajaan atau parti. Ada yang memang sudah ada saluran sendiri pun untuk menyampaikan kepada rakyat.

“Mengisi ruang di podcast YBM samalah seperti memberi bola tanggung kepada pembangkang untuk mengalihkan isu dengan mengapi-apikan sesama PH,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Rafizi berkata, beliau akan berpegang kepada matlamat utama podcast YBM iaitu memberi ruang kepada mereka yang membangkang, atau kritikal kepada pendekatan kerajaan.

“Oleh kerana setakat ini belum ada pemimpin atau penyokong PN yang berani tampil, kami buka juga kepada individu lain. Mereka bukan pembangkang, tetapi ada kecenderungan kritikal dan cynical dengan kerajaan.

“Pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Barjoyai Bardai ialah seorang ahli akademik di universiti swasta yang banyak juga mengkritik saya dan pendekatan kerajaan sebelum ini. Semasa debat antara saya dan Ahli Parlimen Bachok, beliau dilambung oleh penyokong PN sebagai bukti yang pandangan saya ditolak oleh seorang ahli akademik.

“Malam ini beliau akan mengkritik dan membakar saya secara berdepan. Jangan lupa ikuti sesi membakar malam ini bermula jam 8 malam di semua saluran media sosial – Facebook, Spotify, YouTube, X dan TikTok,” ujarnya.