Agong berkenan rasmi sawah berskala besar ala Sekinchan di Pekan

Al-Sultan Abdullah (tengah) berkenan merasmikan Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) ala Sekinchan di Kampung Merchong, pada Isnin.
Al-Sultan Abdullah (tengah) berkenan merasmikan Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) ala Sekinchan di Kampung Merchong, pada Isnin.
A
A
A

PEKAN - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) ala Sekinchan di sini.

Turut berangkat ke majlis yang diadakan di Masjid Kampung Merchong, di sini ialah Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan paduka adinda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah serta Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah.

Hadir sama menyambut keberangkatan baginda, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu; Timbalan Menteri Pertanian KPKM, Datuk Arthur Joseph Kurup; Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim Ali dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pada majlis itu, Seri Paduka turut berkenan meluangkan masa melawat pameran selain melihat gimik penanaman Ala Sekinchan serta mengemudi jentera menanam padi.

Program itu bertujuan meningkatkan produktiviti pengeluaran beras di Malaysia khususnya di Pahang.

Mohamad ketika berucap berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah memperkenalkan satu model baharu di bawah Program SMART SBB iaitu dengan membawa kejayaan pelaksanaan padi di kawasan Sekinchan, Selangor untuk diaplikasi ke kawasan padi yang lain.

Menurutnya, program dimulakan secara rintis pada luar musim tahun 2022 di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Rompin dan IADA Pekan serta mendapat kerjasama Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dengan peningkatan 83 peratus hasil pengeluaran.

Katanya, di Pahang, model baharu yang dikawal selia oleh IADA Pekan bersama sebuah syarikat peneraju telah diadakan di Skim Merchong.

Artikel Berkaitan:

Secara keseluruhan kawasan berkenaan mempunyai keluasan sekitar 4,134 hektar dengan seramai 1,716 orang pesawah.

Terdapat 10 Kumpulan Pengguna Air (KPA) di bawah Skim Merchong, dan projek ini akan memberi fokus utama kepada KPA Permatang Durian.

Bagi fasa pertama pelaksanaan projek itu, ia melibatkan seramai 84 orang peserta dengan kawasan usaha seluas 168 hektar.