Tarif air naik 16 sen di Terengganu

Abdul Karim pada sidang akhbar pelarasan tarif air Semenanjung Malaysia bagi negeri Terengganu di pejabat SATU, di Kuala Terengganu pada Isnin.
Abdul Karim pada sidang akhbar pelarasan tarif air Semenanjung Malaysia bagi negeri Terengganu di pejabat SATU, di Kuala Terengganu pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tarif baharu bagi kategori pengguna domestik dan bukan domestik di Terengganu naik sebanyak 16 sen bagi setiap meter padu berkuat kuasa 1 Februari depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Abdul Karim Endut berkata, kenaikan tarif baharu itu termasuk caj elektrik sebanyak lapan sen yang sebelum ini diserap ke dalam kos operasi syarikat air berkenaan.

Menurutnya, kegunaan domestik bagi bacaan meter 0 hingga 20 meter padu akan mengalami kenaikan daripada 42 sen kepada 58 sen.

"Selain itu, bagi bacaan meter melebihi 20 meter padu hingga 35 meter padu pula menetapkan kadar baharu ialah 83 sen berbanding 65 sen sebelum ini.

"Bagi penggunaan melebihi 35 meter padu pula, kadar baharu ialah RM1.08 bagi setiap meter padu berbanding RM1 sebelum ini.

"Selain itu kadar caj minima bagi pengguna domestik pula beralih daripada RM4 kepada RM5.80 bermula 1 Februari depan," katanya pada sidang akhbar pelarasan tarif air Semenanjung Malaysia bagi negeri Terengganu di pejabat SATU, di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, bagi kategori domestik pukal pula, caj minimum secara pukal akan berubah kepada RM10.80 sebulan dan caj baharu beralih sebanyak lapan sen kepada RM1.08 sen bagi penggunaan setiap meter padu.

Selain itu, katanya, perusahaan komersial serta bangunan bukan domestik akan melibatkan peralihan kadar baharu kepada RM1.08 bagi penggunaan air sehingga 35 meter padu.

Artikel Berkaitan:

"Manakala penggunaan lebih dari 35 meter padu dikenakan caj RM1.48 bagi setiap meter padu," ulasnya.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata bagi kategori khas melibatkan surau dan masjid, rumah ibadat, institusi kebajikan serta perkapalan akan bertambah kepada lapan sen bagi setiap meter padu mengikut kadar sedia ada.

"Terengganu ialah satu-satunya negeri yang ada caj bagi kategori khas kepada institusi surau, masjid, rumah ibadat, institusi kebajikan serta perkapalan.

"Namun bagi masjid dan surau yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAT), tiada caj dikenakan," jelasnya.

Sementara itu, Abdul Karim berkata, program subsidi air percuma melibatkan 20 meter padu akan diteruskan kepada golongan B40 yang layak termasuk masjid dan surau mengikut ketetapan kerajaan negeri.

Katanya, perkara tersebut melibatkan 13,715 akaun dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM2.5 juta setahun.

Justeru, beliau menyatakan kerajaan negeri menerusi SATU menggalakkan pengguna B40 yang layak untuk memohon bantuan 20 meter padu percuma tersebut.