Apa kesudahannya kisah Bella, Zayn Rayyan?

Mira Sharmila atau Bella, Zayn Rayyan
Mira Sharmila atau Bella, Zayn Rayyan
A
A
A

SAAT ini, masih ramai termasuk Merak Jalanan tertanya-tanya apa kesudahan kes kehilangan seorang ibu tunggal, Mila Sharmila Samsusah atau Bella.

Sama seperti kes kematian kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, kisah kehilangan Bella sejak lebih sebulan lalu belum ada titik noktahnya.

Dalam situasi ini, sudah tentu ahli keluarga Bella yang lebih terkesan. Mana tidaknya, jejak Bella masih belum dapat dikesan sehingga hari ini.

Namun, khabarnya misteri kehilangan Bella dijangka bakal terungkai tidak lama lagi susulan penemuan rangka manusia di sebuah rumah terbiar di Batu Pahat, Johor pada Jumaat lalu.

Penemuan tersebut sekali gus mencetuskan persoalan sama ada rangka itu ialah Bella yang dilaporkan hilang pada 14 Disember tahun lalu.

Sekalipun belum disahkan milik siapa, namun ada kemungkinan ia ialah Bella berdasarkan maklumat suspek yang membawa pihak polis ke lokasi.

Dalam hal ini, ahli keluarga Bella sekali lagi diuji. Apa perasaan mereka terpaksa berdepan situasi sebegitu.

Jika Merak Jalanan berada di tempat mereka, pastinya emosi berkecamuk! Malah, macam-macam persoalan bermain dalam benak fikiran.

Artikel Berkaitan:

Namun, Merak Jalanan tidak mahu membuat sebarang andaian. Biarlah pihak polis buat siasatan penuh sebelum sebarang pengesahan dibuat.

Cuma Merak Jalanan berharap seluruh ahli keluarga Bella terus cekal dan reda dengan ujian ALLAH ini.

Dalam berdebar menanti penghujung kisah Bella, Merak Jalanan tak lupa juga misteri kematian Zayn Rayyan.

Setakat ini, polis masih menyiasat kes pembunuhan Zayn Rayyan yang ditemukan di anak sungai berhampiran Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya pada 6 Disember lalu.

Sama seperti kes Bella, harapnya pembunuh Zayn Rayyan dapat ditangkap segera dan si pelaku mendapat hukuman setimpal demi keadilan buat keluarga mangsa.