Ahmad Zahid usaha realisasi penubuhan SEGiM

Ahmad Zahid menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Ponggal Perpaduan 2024 pada Ahad. Foto Bernama
Ahmad Zahid menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Ponggal Perpaduan 2024 pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan berusaha merealisasikan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig (SEGiM) sebaik sahaja mendapat persetujuan daripada seluruh Kabinet.

Menurutnya, cadangan itu telah dikemukakan sebelum pilihan raya negeri tahun lalu selepas bertemu pemain industri untuk meningkatkan kebajikan pekerja ekonomi gig.

“Saya percaya suruhanjaya ini perlu dibentuk segera memandangkan terdapat lebih 1.2 juta pekerja dalam sektor terbabit.

“Mereka perlu mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), malah majikan juga wajar memastikan perkara ini.

“Walaupun ada kekangan, saya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pasti realisasikan suruhanjaya ini,” katanya selepas menghadiri sambutan Ponggal Perpaduan 2024 pada Ahad.

Pada Jumaat, Kempen Grab Blackout dianjurkan penunggang p-hailing di seluruh negara untuk menuntut syarikat Grab Malaysia mengembalikan kadar upah yang asal berbanding sekarang iaitu hanya RM3.50.

Sebelum ini, Ahmad Zahid ketika menyampaikan amanat presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023, memaklumkan parti itu mengemukakan lima cadangan kepada kerajaan termasuk penubuhan SEGiM.

Sebulan kemudian, Zahid dilaporkan berkata, Anwar dijangka mengumumkan penubuhan SEGiM ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada Oktober lalu, dengan fungsi suruhanjaya itu dijangka berkuat kuasa selewat-lewatnya pertengahan bulan sama.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beliau mahu Kementerian Sumber Manusia (KSM) segera merencanakan penubuhan tersebut bagi membuktikan komitmen kerajaan membela nasib penggiat ekonomi gig, khususnya dari aspek pendapatan dan kebajikan.

Cadangan penubuhan SEGiM bertujuan mengawal selia ekosistem industri gig serta menjaga kebajikan seluruh rantaian ekonomi itu, dari peringkat penyedia perkhidmatan, pembekal, pekerja hinggalah pengguna.