Kegusaran rider p-hailing kian memuncak

Seorang penghantar p-hailing menunjukkan kadar upah penghantaran diterimanya ketika gerakan 'Tuntutan Hak Rider Se-Malaysia' di pekarangan pejabat syarikat penyedia perkhidmatan, dekat Petaling Jaya pada Jumaat. Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB
Seorang penghantar p-hailing menunjukkan kadar upah penghantaran diterimanya ketika gerakan 'Tuntutan Hak Rider Se-Malaysia' di pekarangan pejabat syarikat penyedia perkhidmatan, dekat Petaling Jaya pada Jumaat. Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB
A
A
A

TINDAKAN sebuah syarikat penyedia perkhidmatan menurunkan kadar caj upah penghantar p-hailing disifatkan tidak adil sehingga menggusarkan golongan berkenaan di negara ini.

Rasa amarah dan tidak puas hati daripada para penghantar p-hailing kian memuncak apabila pengumuman kadar baharu RM4.30 ke RM3.50 bahkan setakat semalam, jatuh sehingga RM1 sangat tidak berbaloi dengan masa, tenaga dan nyawa yang dipertaruhkan.

Penurunan kadar upah penghantaran itu dikatakan memberi dampak hebat kepada pendapatan harian mereka, ditambah pula dengan kenaikan kos sara hidup dan ekonomi tidak menentu buat masa ini.

Dapatan daripada gerakan boikot selama 17 jam oleh penghantar p-hailing sekitar Lembah Klang, Melaka dan Kedah dalam satu himpunan ‘Tuntutan Hak Rider Se-Malaysia’ pada Jumaat, kebanyakannya mempersoalkan motif sebenar syarikat terbabit menurunkan kadar caj tanpa berbincang terlebih dahulu.

Rata-rata penghantar p-hailing meluahkan rasa kesal apabila syarikat seakan-akan tidak memahami atau menunjukkan rasa perikemanusiaan terhadap mereka yang berhempas pulas mencari rezeki siang dan malam.

Sehinggakan kadang-kadang golongan berkenaan terpaksa berdepan situasi menunggu lama di vendor atau restoran yang memakan masa 30 minit hingga satu jam hanya untuk satu pesanan atau pembatalan secara tiba-tiba sehingga merugikan wang sendiri.

Tidak hanya itu, kesan ketara amat dirasai apabila bermulanya zaman boikot-memboikot barangan keluaran syarikat yang menyokong Israel sedangkan sebelum ini kebanyakan pesanan pelanggan datang daripada jenama berkenaan.

Selain itu juga, segelintir rider p-hailing tidak menafikan mereka mampu mencapai RM150 hingga RM170 pada waktu dahulu, namun sekarang hanya memperoleh RM70 iaitu penurunan hampir separuh daripada amaun tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sesetengah daripada mereka turut berang kerana sehingga ke hari ini, tiada maklum balas daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim rentetan perjumpaannya bersama syarikat-syarikat pengendali perkhidmatan p-hailing pada Ogos lalu.

Justeru, kesemua rider bersepakat menggesa syarikat berkenaan agar mengembalikan kadar upah kepada asal sama seperti sebelum Selasa lepas iaitu hari di mana pengumuman tiba-tiba itu dibuat jika pihak berkenaan tidak mahu mengambil peduli soal desakan kenaikan atau penurunan caj.

Selepas perbincangan dibuat antara wakil Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia dengan syarikat tersebut, lima tuntutan telah dikemukakan iaitu mengembalikan kadar upah kepada asal, ‘pickup bonus’ sebanyak 60 sen dikekalkan, perkiraan untuk penghantaran ‘double-triple order’, pembayaran semula isu ‘cash on delivery’ (COD) serta kes perkhidmatan ditamatkan kerana mempunyai rekod jenayah lampau.

Timbalan Presidennya, Abdul Hakim Abdul Rani berkata, lima tuntutan yang dikemukakan perlu diambil perhatian dan tindakan dalam tempoh lima hari bekerja menjelang Jumaat depan.

Sekiranya syarikat gagal memberikan maklum balas dalam tempoh dipersetujui, satu gerakan boikot yang lebih besar oleh rider p-hailing seluruh negara bakal diadakan buat kali kedua.

Apa pun, diharapkan isu terbabit dapat diselesaikan dengan tenang dan mencapai kata sepakat yang adil buat kedua-dua belah pihak.

Kerajaan perlu memberi perhatian yang serius dalam mendepani isu nasional sedemikian kerana warga kerja p-hailing tidak kira secara separuh atau sepenuh masa merupakan antara penggerak utama ekonomi gig di negara ini.