KPKM fokus perkasa industri akuakultur

Mohamad (tiga dari kiri) meninjau operasi kolam ikan diusahakan ARC Berkat Agrafood.
Mohamad (tiga dari kiri) meninjau operasi kolam ikan diusahakan ARC Berkat Agrafood.
A
A
A

RAWANG - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meneruskan fokus memperkasa industri akuakultur dengan sasaran pengeluaran sebanyak 500,000 tan metrik tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sasaran itu membabitkan 60 peratus sumber akuakultur dan 40 peratus perikanan tangkapan.

Menurutnya, sebanyak lima hala tuju kementerian bagi 2023 akan diteruskan pada tahun ini dengan Jabatan Perikanan Malaysia bertanggungjawab terhadap hala tuju pemerkasaan industri akuakultur.

Mohamad berpeluang menjala ikan tilapia merah di kolam di ARC Berkat Agrafood.Foto: Mohd Rafiq Redzuan Hamzah.
Mohamad berpeluang menjala ikan tilapia merah di kolam di ARC Berkat Agrafood.Foto: Mohd Rafiq Redzuan Hamzah.

"Pemerkasaan sektor akuakultur adalah bagi mengurangkan tekanan kepada permintaan sumber perairan semula jadi.

"Kita semakin menghampiri kepada SSR (kadar sara diri) melalui tangkapan ikan air tawar dan hasil laut yang bertambah.

"Pada masa sama, kita harus teruskan kempen makan ikan air tawar bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber tangkapan laut, " katanya pada lawatan ke ARC Berkat Agrafood Sdn Bhd di Bestari Jaya di sini pada Ahad.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain.

Artikel Berkaitan:

Mohamad (tiga dari kanan, duduk) mendengar taklimat disampaikan ARC Berkat Agrafood pada Ahad. Foto: Mohd Rafiq Redzuan Hamzah.
Mohamad (tiga dari kanan, duduk) mendengar taklimat disampaikan ARC Berkat Agrafood pada Ahad. Foto: Mohd Rafiq Redzuan Hamzah.

ARC Berkat Agrafood merupakan pemenang Anugerah Penternak Cemerlang (Kategori Ikan Air Tawar) 2023.

Lawatan tersebut bagi melihat perkembangan semasa sektor penternakan akuakultur Selangor.

Untuk rekod pengeluaran akuakultur Selangor mencatat 90,800 tan metrik dengan nilai RM1. 25 bilion dalam tempoh tiga tahun antara 2020 hingga 2023.

Perikanan Selangor menyasarkan pengeluaran akuakultur sebanyak 30, 347 tan metrik tahun ini.

Pengeluaran bagi tahun 2023 melalui penternakan air tawar sebanyak 19,279 tan metrik melibatkan 147 penternak diikuti penternakan air payau 2, 543 tan metrik dengan 183 penternak.

Mohamad (tengah) meninjau operasi kolam ikan diusahakan ARC Berkat Agrafood.Foto: Mohd Rafiq Redzuan Hamzah.
Mohamad (tengah) meninjau operasi kolam ikan diusahakan ARC Berkat Agrafood.Foto: Mohd Rafiq Redzuan Hamzah.

Penternakan ikan hiasan mencatatkan pengeluaran 546, 438 tan metrik babitkan 18 penternak dan 30 penternak bagi 155,226,208 benih kerang.

Hulu Selangor menjadi daerah tertinggi bagi pengeluaran ikan keli iaitu 10,170 tan metrik dengan nilai hampir RM58 juta manakala Hulu Langat mencatat pengeluaran ikan tilapia tertinggi sebanyak 2,914 tan metrik dengan nilai lebih RM40 juta.

Bagi pengeluaran benih ikan keli di Selangor pula, daerah Gombak merekodkan pengeluaran tertinggi iaitu sebanyak 89,280,600 tan metrik dengan nilai lebih RM8. 3 juta.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, selain akuakultur, kementerian turut menumpukan membabitkan SSR pengeluaran beras.

"Saya dan kementerian berharap pesawah secara tradisi diteruskan dan pada masa sama mahu galakkan penglibatan swasta.

"Dalam mencukupkan bekalan beras, satu perkara serius perlu diusahakan dengan melibatkan semua pihak dari menteri, pegawai kerajaan, pemain industri serta swasta bagi mencapai SSR.

"Dengan itu, jika berlaku masalah sekatan eksport dari luar negara, masalah itu dapat diatasi," katanya.

Sementara itu, Adnan berkata, sebanyak 10 kawasan pengeluaran akuakultur telah dipilih dan akan dipantau bagi menjayakan sasaran pengeluaran 500,000 tan metrik.

"Kawasan ini juga akan diberi perkhidmatan dari segi khidmat teknikal, pinjaman sangkar juga bantuan berbentuk in-kind.

"Permintaan dan pengeluaran ikan akuakultur di Malaysia dijangka akan meningkat sekali gus dapat membantu pendapatan penternak serta pengusaha produk berasaskan ikan akuakultur," katanya.

Beliau turut menasihati golongan muda untuk menceburi bidang tersebut yang berpotensi menjana pendapatan dan ekonomi di samping menjamin kelangsungan keterjaminan makanan.

"ARC Berkat adalah penternak akuakultur yang menjalankan perusahaan ternakan, pembenihan dan produk pemprosesan ikan keli serta tilapia merah yang turut menawarkan kursus ternakan ikan air tawar.

"Perusahaan ditubuhkan sejak 2007 berjaya menghasilkan benih ikan air tawar berkualiti tinggi dengan peratusan kematian rendah serta menternak ikan dengan kuantiti tinggi bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan," katanya.