Penempatan haram pekerja warga asing terbongkar

Sebahagian warga asing dikumpulkan di satu ruang untuk pemeriksaan lanjut dalam serbuan di sebuah bangunan kedai dua tingkat Jalan Pekan Kuala Berang, Hulu Terengganu pagi tadi. - Foto Ihsan JIM Terengganu
Sebahagian warga asing dikumpulkan di satu ruang untuk pemeriksaan lanjut dalam serbuan di sebuah bangunan kedai dua tingkat Jalan Pekan Kuala Berang, Hulu Terengganu pagi tadi. - Foto Ihsan JIM Terengganu
A
A
A

HULU TERENGGANU- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu membongkar taktik pemilik sebuah bangunan kedai dua tingkat yang mengubahsuai premis itu sebagai penempatan haram pekerja warga asing, di Jalan Pekan, Kuala Berang.

Ketika serbuan pada jam 3.10 pagi sempena Operasi Sapu itu, premis berkenaan didapati mempunyai lebih 10 bilik kecil difahamkan untuk disewa kepada pekerja warga asing yang bekerja di sekitar kawasan terbabit.

Timbalan Pengarah JIM Terengganu, Malik Zaliman Deraman berkata, bangunan yang diubahsuai itu dihuni 64 warga asing.

"Kami percaya pemiliknya sengaja mengubahsuai premis itu bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan ingin mengaut keuntungan berganda," katanya ketika dihubungi hari ini.

Malik Zaliman berkata, pemeriksaan ke atas 20 warga Indonesia termasuk seorang kanak-kanak dan seorang warga Bangladesh mendapati pelbagai kesalahan dilakukan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Peraturan- Peraturan Imigresen 1963.

"Mereka yang ditahan berusia antara setahun hingga 70 tahun dan dikenalpasti melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tinggal lebih masa dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tiada dokumen sah.

"Kesemua mereka kemudian ditahan di bawah Seksyen 51(3)(a) dan di bawah Seksyen 51(5)(b)Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) di hantar ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, di sini, untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, dalam serbuan di sebuah bangunan di Marang pada jam 1.35 pagi, anggota JIM turut menahan dua lelaki warga Bangladesh masing-masing berusia 34 dan 37 tahun kerana tinggal lebih masa dan tiada dokumen sah.

Artikel Berkaitan:

Seramai 18 anggota dan pegawai JIM menyertai operasi berkenaan yang diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasaan, JIM Terengganu, Mohd Muda.