Taubat ‘budak jahat’

Izuan berkongsi perjalanan hidupnya kepada Sinar Harian.
Izuan berkongsi perjalanan hidupnya kepada Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - "Saya rasa sangat menyesal sebab sakitkan hati dan kecewakan mak. Saya berjanji dengan diri untuk betulkan balik apa yang telah saya lakukan selama ini."

Demikian tekad penghuni Sekolah Henry Gurney (SHG), Telok Mas, Melaka, Izuan (bukan nama sebenar).

Menceritakan kembali detik hitam dimasukkan ke SHG, Izuan berkata, semua berpunca daripada dirinya sendiri.

Menurut Izuan, dia mula mengenali dadah seawal usia 15 tahun dan bergelumang dengan najis itu selama tujuh tahun atas kemahuan sendiri dan mengikut rakan.

"Makin lama saya ikut, saya semakin leka dengan dunia itu sampai ada satu tahap, kawan saya bagi rancangan untuk mengedar dadah. Lepas fikir benda itu boleh senangkan hidup saya pun mula berniaga (dadah)," katanya melalui perkongsian eksklusif kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun menurut Izuan, perumpamaan 'langit tidak selalunya cerah' seakan menggambarkan apa yang berlaku terhadapnya apabila ditangkap dan akhirnya menghuni SHG selama tiga tahun.

Namun, di sebalik hukuman yang dilaluinya itu, anak muda tersebut mengakui sekolah berkenaan berjaya memberi kesedaran dan mengembalikan semula dirinya yang 'hilang'.

"Masa saya kena tangkap, saya tidak menyesal masuk SHG (malah) saya bersyukur kerana apabila datang ke sini, saya dapat diri saya balik. Alhamdulillah.

Artikel Berkaitan:

"Pengalaman di SHG ini banyak. Contohnya dari segi disiplin, mental dan pembentukan diri yang baharu, bangun awal dan solat. Di sini kami ada kelas agama, ajar solat. Dulu, kalau di luar saya selalu abai solat tetapi apabila berada di sini hendak tinggal solat, saya rasa tidak boleh," katanya.

Menurut Izuan lagi, dia juga mengambil bahagian dalam sukan Muay Thai dan ternyata pilihan itu tidak silap kerana banyak perkara positif diterimanya.

Namun jauh di sudut hati, Izuan mengakui bimbang dengan penerimaan dan stigma masyarakat terhadap dirinya setelah keluar dari tempat yang dilabel 'sekolah budak jahat' itu.

"Kekesalan yang saya ingin kongsikan dengan rakan-rakan di luar sana ialah berkaitan dengan ibu bapa. Dulu kat luar mak saya selalu pesan pada saya bila nak buat sesuatu fikir tapi (masa itu) saya abaikan ibu bapa saya sehingga saya kecewakan mereka," katanya.

Sementara itu, Pengarah SHG, Azuwan Hafiz Ahmad berkata, penghuni SGH bukan banduan tetapi remaja yang tersalah langkah kerana kurang kasih sayang dan perhatian.

Justeru, beliau memohon ibu bapa supaya memberi perhatian lebih kepada anak-anak yang dalam proses pembelajaran dan pembesaran iaitu dari umur 14 hingga 21 tahun.

"Jika kita layan mereka sebaik mungkin dengan kasih sayang, memberi tunjuk ajar. Insya-ALLAH negara kita akan mempunyai remaja yang boleh membentuk negara yang terbaik dan paling penting ialah kita di sini menghasilkan insan yang sempurna dari segi akhlak," katanya.