UDA anjur 'GreenCity AR iPad Challenge'

Reza Huzairi (belakang, empat dari kiri) bergambar bersama para pemenang pada Majlis Pembentangan Terakhir dan Pameran 'GreenCity AR iPad Challenge: Shaping Sustainable Urban Cities’. FOTO: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Reza Huzairi (belakang, empat dari kiri) bergambar bersama para pemenang pada Majlis Pembentangan Terakhir dan Pameran 'GreenCity AR iPad Challenge: Shaping Sustainable Urban Cities’. FOTO: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SYARIKAT pembangunan hartanah, UDA Holdings Berhad (UDA) dengan kerjasama Apple Professional Learning Malaysia (APLM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Pakarunding Sdn Bhd terus memperkukuh pendigitalan serta kelestarian menerusi penganjuran ‘GreenCity Augmented Reality (AR) iPad Challenge: Shaping Sustainable Urban Cities’ yang bermula sejak tiga bulan lalu.

Pertandingan yang menggalakkan proses pemikiran reka bentuk kreatif dan inovatif itu dilaksanakan selari dengan salah satu daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu menjadikan penempatan inklusif, selamat, berdaya tahan serta mampan.

Ketua Pegawai Operasi Perkhidmatan Korporat Kumpulan UDA, Reza Huzairi Zainudin berkata, penganjuran itu juga merupakan antara inisiatif pihaknya dalam menyokong hasrat kerajaan menuju ke arah kelestarian negara menjelang 2050 dan bertepatan dengan matlamat syarikat.

Reza Huzairi berucap pada Majlis Pembentangan Terakhir dan Pameran 'GreenCity AR iPad Challenge: Shaping Sustainable Urban Cities’ di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Sabtu. FOTO: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Reza Huzairi berucap pada Majlis Pembentangan Terakhir dan Pameran 'GreenCity AR iPad Challenge: Shaping Sustainable Urban Cities’ di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Sabtu. FOTO: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID

“Inovasi membangunkan ‘AR City Model’ di atas tanah milik UDA di Lot 44617, Fasa 4 Bandar Tun Hussein Onn, Hulu Langat, Selangor ini mampu menyumbang kepada pembangunan mampan dan mewujudkan bandar lestari untuk kesejahteraan komuniti.

“Pertandingan ini merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares Educational, asalnya dicadangkan pada April hingga Jun, namun kerana mahu memberi laluan buat para peserta untuk menumpukan kepada peperiksaan, ia dijadualkan semula dari 14 Oktober hingga 5 November 2023.

“Semoga ia memberi manfaat dan pengalaman baharu kepada para peserta terutamanya dalam menempuh cabaran alam pekerjaan sebenar,” katanya ketika berucap di majlis pembentangan peringkat akhir pertandingan tersebut di salah sebuah hotel, di sini pada Sabtu.

Antara tetamu kehormat yang turut hadir ialah Pengarah Pusat Pengajaran dan Pembangunan Kurikulum UKM, Profesor Ir Ahmad Kamal Ariffin dan Timbalan Pengarahnya iaitu Profesor Madya Dr Muhammad Helmi Norman; Pensyarah Kanan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Profesor Madya Ts Dr Azma Putra serta Pensyarah Kanan Program Perancangan Bandar dan Wilayah dari UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar, Dr Lim Seng Boon.

Artikel Berkaitan:

Seramai 242 pelajar dari 25 pusat pengajian tinggi tempatan menyertai pertandingan yang julung kali diadakan itu bagi memanfaatkan teknologi digital interaktif dalam bidang reka bentuk.

James (tiga dari kanan) bersama ahli kumpulannya, Batukam City yang dinobatkan sebagai johan. FOTO SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
James (tiga dari kanan) bersama ahli kumpulannya, Batukam City yang dinobatkan sebagai johan. FOTO SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID

Lima pasukan terbaik daripada 10 kumpulan teratas telah membentangkan idea dan reka bentuk masing-masing di peringkat akhir dengan hanya menggunakan peranti iPad di hadapan juri profesional iaitu Ketua Pegawai Operasi UDA Land (South) Sdn Bhd, Muhammad Ismail Dasuki serta Naib Presiden Kanan Bahagian Perkhidmatan Teknikal Kumpulan UDA, Zaiwati Othman.

Sementara itu, johan pertandingan iaitu Batukam City dari Kolej Matrikulasi Kelantan memperoleh hadiah wang tunai berjumlah RM12,000 manakala tempat kedua, GreenScape City dan ketiga, Labu Sayong Eco City dari Politeknik Ungku Omar (PUO) masing-masing menerima RM9,000 serta RM6,000 selain saguhati RM1,800 diberikan kepada setiap kumpulan berserta sijil penyertaan.

Ketua kumpulan Batukam City, James Leong Jin Hui memaklumkan, konsep yang diketengahkan adalah mengikut daripada dua kawasan di daerah Cheras iaitu Batu Sebelas dan Batu Sembilan di samping namanya terinspirasi daripada gabungan Batu dan Kam bermaksud emas dalam bahasa Kantonis, menjadikannya ‘Golden City’.

Tambah pemuda berusia 19 tahun itu, pihaknya tidak menyangka usaha bersama lima rakan lain selepas tiga bulan berkorban masa dan tenaga mampu melayakkannya ke peringkat akhir sehingga bergelar johan pertandingan.

“Saya berasa gembira dan bangga dengan pencapaian kami, selepas ini jika ada projek sebegini memang kami akan sertai lagi serta tambah baik segala kekurangan yang ada,” ujarnya lagi.