UniKL mahu cipta sejarah di UKM

Dari kiri, Mohd Raffiq; kapten UKM, Nazrin Aiman Azmi; Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Datuk Dr Pekan Ramli; kapten UniKL, Muhammad Darwisy Abdullah dan Zaharull semasa sidang media perlawanan akhir Piala Menteri Pendidikan Tinggi 2023.
Dari kiri, Mohd Raffiq; kapten UKM, Nazrin Aiman Azmi; Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Datuk Dr Pekan Ramli; kapten UniKL, Muhammad Darwisy Abdullah dan Zaharull semasa sidang media perlawanan akhir Piala Menteri Pendidikan Tinggi 2023.
A
A
A

PASUKAN Universiti Kuala Lumpur (UniKL) tekad meneruskan prestasi cemerlang dalam kejuaraan bola sepak Piala Menteri Pendidikan Tinggi 2023 apabila mengunjungi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam perlawanan akhir di Stadium UKM Bangi pada Rabu.

Malah pengendali UniKL, Mohd Zaharull Hamdan menegaskan anak buahnya bersedia memberikan yang terbaik dalam misi melakar sejarah sebagai pasukan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) pertama menjuarai trofi tersebut.

"Pada ketika ini pemain-pemain saya berada dalam motivasi terbaik untuk melakukan kejutan pada perlawanan akhir berintensiti tinggi ini.

"Namun begitu saya selalu mengingatkan pemain-pemain supaya sentiasa fokus dan berdisiplin kerana UKM pasukan yang dibarisi pemain berpengalaman selain antara nama besar saingan bola sepak institusi pengajian tinggi.

"Setiap pemain juga perlu sentiasa merendahkan diri serta bertenang berdepan tekanan seterusnya berusaha lebih keras dalam menghadapi perlawanan akhir ini," katanya

Sebagai rekod, UniKL terpaksa mengheret aksi ke penentuan sepakan penalti untuk menang 4-2 ke atas UiTM Perlis selepas terikat 1-1 dalam perlawanan separuh akhir di Stadium Mini Bandar Baru Salak Tinggi pada 26 September lalu.

Sementara itu, UKM mara ke perlawanan akhir selepas menjinakkan UiTM Shah Alam, 3-2 dalam aksi separuh akhir di Stadium UiTM Shah Alam.

Dalam pada itu, Mohd Zaharull percaya pemain-pemainnya bersedia berdepan tekanan tinggi apabila beraksi di laman keramat UKM.

Artikel Berkaitan:

"Selain persediaan mental dan fizikal, pemain perlu mempunyai keberanian terutama bermain di tempat pihak lawan yang pasti mempunyai ribuan penyokong.

"UKM sebuah pasukan yang mempunyai nama besar dalam kejuaraan ini, untuk itu kami telah melakukan persiapan lebih rapi berdepan pasukan bereputasi tinggi.

"Saya telah menekankan kepada setiap pemain supaya mengikuti setiap taktikal permainan yang dirancang barisan kejurulatihan.

"Selain Itu, kami melipatgandakan usaha keras agar mencapai kejayaan kerana pasukan UniKL merupakan pasukan kerdil dalam saingan Liga KPT," katanya yang berterima kasih kepada pengurusan tertinggi UniKL yang menjadi tulang belakang dalam memastikan kemaraan pasukan itu ke pentas perlawanan akhir.

UKM tidak mahu persia kelebihan Bangi

Sementara itu, pasukan pilihan UKM tekad tidak mempersiakan peluang menjulang Piala Menteri Pendidikan Tinggi 2023 apabila melayan kunjungan UniKL dalam perlawanan akhir di Stadium UKM, Bangi pada Rabu.

Pengendali UKM, Mohd Raffiq Roslan berkata, perjalanan pasukan itu sama seperti saingan tahun lalu apabila bertemu pencabar sukar bermula di kelompok lapan terbaik.

"Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi atas rezeki yang dikurniakan UKM sekali lagi menempah tempat pada perlawanan akhir.

"Sama dengan skrip tahun lepas, kami melangkah ke perlawanan akhir selepas bertemu dengan dua kuasa bola sepak IPT (UPSI di suku akhir dan UiTM pada separuh akhir).

"Sudah pasti, peluang yang hadir sekali lagi pada tahun ini tidak akan disia-siakan oleh anak buah saya. Namun kami waspada dengan kemaraan pasukan UniKL yang akan turun tanpa tekanan namun tetap berazam untuk mencipta sejarah mereka sendiri," katanya pada Selasa.

Pada masa sama Mohd Raffiq mengakui beraksi di pentas final terutama di depan para penyokong UKM memberi tekanan khasnya kepada pemain-pemain baharu yang beraksi di perlawanan berintensiti tinggi.

Namun Mohd Raffiq percaya pengalaman pemain senior dalam pasukan itu akan membantu menjelmakan keputusan positif.

"Ya, sudah pasti bagi pemain-pemain baharu yang mungkin bermain di pentas terbesar karier bola sepak mereka akan merasakan tekanan.

"Namun dengan kehadiran dan bantuan beberapa pemain senior yang lain, insya-ALLAH pemain-pemain saya akan menggunakan peluang ini untuk beraksi sehabis baik.

"Walaupun di atas kertas kami merupakan pasukan pilihan namun saya sentiasa berpesan kepada anak buah saya yang kedua-dua pasukan mempunyai peluang sama rata apabila beraksi di pentas final," katanya.

Pada masa sama Mohd Raffiq juga mengingatkan pemain UKM menggunakan perlawanan akhir sebagai pentas mengembangkan potensi diri dalam karier bola sepak pada masa depan selepas melalui pelbagai ranjau untuk sampai ke fasa terakhir kejuaraan itu.

"Sudah pasti mana-mana jurulatih akan bersetuju apabila melatih pasukan melibatkan pelajar-pelajar IPT ini pelbagai halangan yang terpaksa dihadapi.

"Dari segi kesesuaian masa latihan, penglibatan pemain dengan sesi latihan, dan kekangan tempat latihan merupakan antara aspek yang boleh membantutkan usaha pasukan.

"Namun, sering saya ingatkan kepada anak buah agar menjadikan kekurangan dihadapi pasukan sebagai satu kekuatan tambahan sewaktu beraksi di padang. Gunakan juga platform pentas bola sepak IPT ini sebagai langkah permulaan untuk mengembangkan karier bola sepak mereka," katanya.