Aksi 'Superman' makan diri

Lima penunggang yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Persekutuan, Shah Alam pada Sabtu.
Lima penunggang yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Persekutuan, Shah Alam pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Keseronokan menguji kelajuan motosikal dengan melakukan aksi 'Superman' di Lebuhraya Persekutuan di sini, menjerat diri selepas ditahan pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, lima penunggang ditahan berasingan menerusi Op Samseng Jalanan yang dijalankan pegawai dan anggota Unit Risikan Operasi JSPT Bukit Aman bermula kira-kira jam 2.25 pagi.

Menurutnya, kesemua penunggang terbabit dikesan melakukan aksi 'Superman' dan bersaing sesama sendiri.

Mohd Azman
Mohd Azman

"Soal siasat mendapati kelima-lima penunggang itu tidak terlibat dalam mana-mana kumpulan, namun menjadikan Lebuhraya Persekutuan sebagai tempat untuk menghabiskan masa terutama di malam minggu.

"Kelima-lima lelaki tempatan yang ditahan berusia antara 17 hingga 21 tahun," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata, kesemua motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Yamaha 135LC itu telah disita dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

"JSPT akan terus mempertingkatkan operasi terutama di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan.

"Dinasihatkan semua pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya," katanya.