Pulau Pinang: Kerja pembinaan paip lencongan dijangka siap 2 Februari

Kon Yeow (lima dari kanan) ketika membuat lawatan tapak kemajuan projek cegah rintang tersebut dekat Jambatan Ampang Jajar di sini, pada Sabtu.
Kon Yeow (lima dari kanan) ketika membuat lawatan tapak kemajuan projek cegah rintang tersebut dekat Jambatan Ampang Jajar di sini, pada Sabtu.
A
A
A

BUTTERWORTH - Projek pembinaan dua paip lencong sementara berdiameter 600 milimeter (mm) merentasi Sungai Perai yang sedang dilaksanakan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mencapai 50 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada 2 Februari depan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pada 24 Januari ini akan menetapkan masa pelaksanaan rancangan gangguan bekalan air berjadual (SWSI) sekali lagi untuk kerja-kerja akhir penyambungan paip lencong sementara dengan paip sedia ada di sini.

Menurutnya, kerja paling mencabar dan penting adalah melakukan penyambungan paip alir (air) sedia ada dengan paip yang baharu, kerana paip bawah dasar sungai yang telah bocor beberapa kali sebelum ini tidak akan digunakan lagi.

"Kerja-kerja penyambungan ini akan mengambil masa selama 16 jam, selepas itu baru bermula proses pemulihan air.

"Kita akan memilih hari hujung minggu sebelum Tahun Baru Cina untuk melaksanakan gangguan bekalan air berjadual ini nanti," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat lawatan tapak kemajuan projek cegah rintang tersebut dekat Jambatan Ampang Jajar di sini, pada Sabtu.

Kon Yeow berkata, paip lencong sementara ini akan digunakan dalam tempoh enam hingga lapan bulan sahaja, sementara projek pembinaan paip kekal berdiameter 1,350mm merentasi atas Sungai Perai siap kelak.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir K Pathmanathan berkata, pihaknya akan mengeluarkan notis awal mengenai gangguan bekalan air selepas mendapat kebenaran Mesyuarat Exco nanti

"Kawasan hujung paip agihan (EoL) sekitar Daerah Barat Daya seperti Relau, Sanway Cassia dekat Batu Maung dan Balik Pulau akan mengalami gangguan bekalan air berjadual.

Artikel Berkaitan:

"Selain kawasan-kawasan itu (iaitu ketiga-tiga Daerah Seberang Perai dan Daerah Timur Laut) tidak perlu risau," katanya lagi.