Mentega Terbang: Pengarah, penerbit fail semakan perintah larangan

Mohd Khairianwar (kiri) dan Meng Kheng (kanan) ketika hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadapi masing-masing satu pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain pada Rabu.
Mohd Khairianwar (kiri) dan Meng Kheng (kanan) ketika hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadapi masing-masing satu pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengarah dan penerbit filem kontroversi, Mentega Terbang memfailkan semakan di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, berhubung perintah larangan daripada membuat kenyataan berhubung pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain yang dikenakan terhadap mereka dua hari lalu.

Peguam, Zaid Malek yang mewakili Penerbit, Tan Meng Kheng, 37, dan pengarah, Mohd Khairianwar Jailani, 32, selaku pemohon berkata, ia dibuat kerana perintah larangan itu salah di sini undang-undang dan melanggar kebebasan pendapat.

"Mahkamah telah menetapkan Rabu minggu depan untuk mendengar permohonan semakan tersebut," katanya ketika dihubungi pemberita pada Jumaat.

Pada Rabu lalu, Meng Kheng dan Mohd Khairianwar mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini, masing-masing atas satu pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain Februari tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, Meng Kheng dan Mohd Khairianwar yang juga penulis skrip filem itu, didakwa melakukan kesalahan itu, menerusi perkataan dan visual di sebuah kondominium di Jalan Semarak Api 2, di sini pada jam 12.34 tengah hari, 26 Februari 2023.

Mahkamah membenarkan Mohd Khairianwar ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan, sementara jaminan untuk Meng Kheng sebanyak RM6,500.

Kedua-dua tertuduh ini turut dilarang mengeluarkan kenyataan berkaitan kes yang dipertuduhkan sehingga kes terbabit dilupuskan.

Sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan, platform penstriman Viu menghentikan tayangan Mentega Terbang pada 27 Februari tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Pembikinannya dikatakan menyentuh perbezaan dan persamaan agama-agama utama di Malaysia telah mendapat kritikan orang ramai dan penggiat seni.

Filem Mentega Terbang arahan Mohd Khairi Anwar Jailani ini diterbitkan Anomalist Production dan Meng Kheng Entertainment dengan menampilkan pelakon Syumaila Salihin, Firdaus Karim, Nik Waheeda, Arjun Thanaraju, Khairunazwan Rodzy, Shyamala Kandapper dan Jesebel Lee.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) kemudiannya mengharamkan filem itu pada 1 September tahun lalu, yang mana kedua-dua lelaki terbabit mendakwa ia satu tindakan tidak rasional yang melanggar kebebasan bersuara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ditayangkan menerusi platform penstriman, filem berdurasi 104 minit itu mengisahkan 'konflik keagamaan' yang dihadapi seorang remaja beragama Islam bernama Aisyah, yang mempelajari agama lain terutama dalam mencari jawapan kepada persoalan hidup selepas mati.