Gara-gara 'Inspektor Nasir'!

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga di sini kerugian RM29,940 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai anggota polis kelmarin.

Mangsa seorang wanita berusia 40 tahun itu pada mulanya menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Nasir dan menyatakan akaun peribadinya telah digunakan untuk jenayah pengubahan wang haram.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Deputi Superintendan Hamdan Zali berkata, suspek turut memaklumkan waran tangkap akan dikeluarkan kepada mangsa sekiranya enggan memberi kerjasama untuk proses siasatan.

"Mangsa kemudian diarahkan memindahkan semua wang ASB (Amanah Saham Bumiputera) ke dalam sebuah akaun bank miliknya dengan alasan untuk menjalankan siasatan.

"Suspek juga mengarahkan agar mangsa memberi nombor pin kad ATM (pengeluaran wang automatik) bank selain meminta menghantar gambar kad ATM tersebut kepadanya dalam kadar segera sejurus membuat pemindahan wang berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Hamdan berkata, akibat terlalu panik, mangsa tanpa berfikir panjang terus mengikut segala arahan diberikan suspek.

"Mangsa hanya menyedari dia ditipu sejurus mendapati semua duit yang dipindahkan sudah dikeluarkan oleh individu tidak dikenali hanya dalam tempoh sehari.

"Mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu di sini semalam untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.