Piya bimbang masa depan TRW di saingan Liga M3

Mohd Badhri
Mohd Badhri
A
A
A

LEGENDA The Red Warriors (TRW), Mohd Badhri Radzi mengakui bimbang dengan nasib pasukan selepas 'ditendang' ke saingan Liga M3 apabila gagal menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain musim lalu.

Mohd Badhri atau Piya berkata, jika masalah itu terus berlaku berkemungkinan besar TRW akan berdepan tugas sukar pada saingan nanti.

"Jika tidak mampu... saya fikir eloklah Zamsaham (Norizam Tukiman) berundur dan tinggalkan TRW. Itu membuatkan penyokong akan hormat.

"Sebagai contoh Bibi Ramjani Ilias Khan walaupun sudah menghabiskan jutaan ringgit, namun beliau mengambil keputusan untuk berundur selepas gagal," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Menurut beliau, jika Zamsaham melepaskan Kelantan secara 'total' ramai pihak sudi memulihkan semula maruah TRW.

Ujarnya, cakap tidak serupa bikin dengan pelbagai perancangan yang gagal turut memberikan imej kurang baik kepada pasukan.

Piya memberitahu, sebagai bekas pemain yang pernah bersusah payah bersama Kelantan sebelum ini beliau kecewa dengan apa yang berlaku di bawah kendalian Zamsaham.

Media sebelum ini melaporkan, Kelantan FC terpaksa melupakan hasrat untuk kekal dalam saingan Liga Super musim 2024-2025 selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menolak rayuan kelab itu bagi Lesen Kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB), Mohamad Yasin Abdullah berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat semalam, selaras dengan Artikel 3.4.4 yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023.

Kelab dari Pantai Timur itu, sebelum ini mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa AB berikutan keputusan First Instance Body (FIB) yang telah menolak permohonan Lesen Kebangsaan kerana masalah kewangan.

Pada 1 Januari lepas, Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif mengumumkan bahawa Kelantan tidak layak bertanding dalam Liga Super 2024-2025 kerana gagal memperoleh Lesen Kebangsaan sebelum tarikh akhir (31 Disember 2023).

Keputusan itu dibuat selepas kegagalan skuad The Red Warriors (TRW) untuk melengkapkan dua Kriteria Kewangan di bawah subkriteria F.04 dan subkriteria F.11 sebelum tarikh akhir yang ditetapkan masing-masing pada 30 November dan 31 Disember.

Skuad TRW yang terpalit masalah kewangan, menamatkan saingan Liga Super 2023 pada kedudukan tercorot dalam kalangan 14 pasukan bertanding dengan mengumpul lapan mata selepas tewas dalam 22 perlawanan dan meraih masing-masing dua keputusan menang dan seri.