Kelantan FC tidak layak beraksi di Liga Super

Kelantan FC diberikan peluang untuk kemukakan rayuan sebelum 8 Januari.
Kelantan FC diberikan peluang untuk kemukakan rayuan sebelum 8 Januari.
A
A
A

KELANTAN FC gagal untuk mendapatkan lesen kebangsaan sekali gus tidak layak untuk bertanding dalam saingan Liga Super musim depan.

Pengerusi badan bebas First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, keputusan itu dibuat kerana Kelantan FC telah gagal untuk melengkapkan dua kriteria kewangan sebelum tarikh akhir yang ditetapkan iaitu pada 30 November dan 31 Disember.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, pasukan pantai timur itu diberikan peluang untuk mengemukakan rayuan kepada Badan Rayuan Pelesenan Kelab Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum 8 Januari terhadap keputusan tersebut.

"Pada 1 November, pihak FIB telah bersetuju memberikan lanjutan masa untuk Kelantan FC menyelesaikan langkah pertama bagi sub-kriteria F.04 sehingga 15 November untuk menyelesaikan kesemua tunggakan gaji semasa sehingga Ogos 2023.

"Namun, pada 15 November Kelantan FC telah merayu untuk diberikan lanjutan masa sehingga 30 November untuk menyelesaikan arahan tersebut.

"Pada 1 Disember selepas tarikh tempoh 30 November yang diberikan oleh pihak FIB, Kelantan FC telah menghantar lampiran dokumen bukti menunjukkan 'post dated cheque'.

"Namun, pihak MFL meminta Kelantan FC menghantar bukti tambahan iaitu resit pembayaran yang menunjukkan bahawa cek telah dijelaskan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pihak FIB mendapati bukti-bukti tersebut masih tidak mencukupi untuk mematuhi syarat pertama yang diberikan kepada Kelantan FC.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, FIB juga telah melakukan semakan bersama Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dan Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) bagi memastikan bahawa pembayaran gaji telah dilakukan oleh pihak Kelantan FC.

"Namun begitu, setelah semakan dibuat, terdapat beberapa pemain dan pegawai yang masih belum menerima gaji bulan Ogos 2023 atas beberapa sebab.

"Pihak Kelantan FC telah menghubungi MFL dan menghantar cek yang baharu berserta melakukan pembayaran dalam talian kepada beberapa pemain dan pegawai yang terlibat.

"Kelantan FC kemudian menghantar bukti resit pembayaran yang baharu bagi semakan pihak FIB dan mendapati tujuh pemain dan seorang pegawai masih belum menerima gaji penuh untuk bulan Ogos kerana isu penamatan kontrak antara pemain atau pegawai dengan Kelantan FC," katanya.

Beliau berkata, MFL turut meminta Kelantan FC untuk menghantar dokumen sokongan pada 18 Disember untuk kesemua tujuh pemain dan seorang pegawai yang terlibat bagi semakan pihak FIB.

"Setelah menerima dokumen daripada Kelantan FC pada 18 Disember 2023, masih terdapat dokumen sokongan untuk seorang pemain dan seorang pegawai yang tidak lengkap.

"Manakala, langkah kedua pihak FIB mengarahkan Kelantan FC menjelaskan semua lima kes FIFA yang mempunyai keputusan sebelum 31 Ogos sebelum atau pada 31 Disember 2023, bagaimanapun pihak FIB tidak menerima sebarang dokumen sehingga tarikh akhir.

"Kelantan FC juga tidak menghantar bukti resit bayaran ansuran bulanan mengikut jadual yang ditetapkan oleh KWSP dan PERKESO untuk tunggakan sehingga Ogos," katanya.