Perak adakan mesyuarat khas teliti keluarga tinggal rumah daif

Saarani bercakap kepada pemberita pada Khamis.
Saarani bercakap kepada pemberita pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Satu mesyuarat khas akan diadakan bagi meneliti keperluan dan kebajikan keluarga kurang berkemampuan yang tinggal di kediaman daif di negeri ini, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata, mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan bagi memastikan kes melibatkan dua beranak yang hidup dipenuhi sampah sarap dan takungan najis di Rumah Pangsa Taman Silibin, di sini tidak berulang.

"Ini berkaitan dengan kemanusiaan dan menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk melihat rakyatnya berada dalam suasana yang perlu diperbetulkan.

"Jika ada keluarga yang harap hidup atas bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Baitulmal semata-mata, tetapi dalam masa sama perlu menyewa rumah, apa yang mereka boleh peroleh.

Keadaan ruang tamu unit rumah yang didiami dua beranak di Rumah Pangsa Taman Silibin ketika tinjauan pada Khamis.
Keadaan ruang tamu unit rumah yang didiami dua beranak di Rumah Pangsa Taman Silibin ketika tinjauan pada Khamis.

"Jadi ini antara perkara yang perlu kita lihat secara menyeluruh, dalam hal ini kerajaan negeri tidak akan lepas tangan begitu sahaja atau menuding jari kepada orang lain melainkan kita rasa kalau ini boleh berlaku di sini, maka perkara sama boleh berlaku di tempat lain," katanya selepas mengadakan lawatan ke Rumah Pangsa Taman Silibin di sini pada Khamis.

Kisah kehidupan Erwan Dahari, 46, bersama ibunya Miram Kadir, 77, yang tinggal dalam rumah usang dan keadaan serba daif mendapat perhatian umum selepas dilaporkan media.

Saarani ketika meninjau keadaan kediaman yang menjadi tempat tinggal dua beranak di Rumah Pangsa Taman Silibin dekat Ipoh pada Khamis.
Saarani ketika meninjau keadaan kediaman yang menjadi tempat tinggal dua beranak di Rumah Pangsa Taman Silibin dekat Ipoh pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, JKM telah meluluskan dua bentuk bantuan bulanan iaitu skim Bantuan Am Negeri berjumlah RM400 dan Bantuan Warga Emas RM500 bagi meringankan beban.

JKM turut menyerahkan tabung bantuan segera (TBS) kepada Erwan yang tidak lagi bekerja kerana mengalami kemurungan.

Dalam perkembangan sama, Saarani berkata, JKM telah mengambil inisiatif memindahkan segera wanita warga emas terbabit ke institusi jabatan itu bagi tujuan keselamatan.

Katanya, JKM turut menawarkan Erwan tinggal di Anjung Singgah Perak kelolaan Yayasan Kebajikan Negara (YKN), namun menolak dan mahu kekal tinggal di flat itu.

Keadaan bilik mandi yang dipenuhi longgokan sampah sarap.
Keadaan bilik mandi yang dipenuhi longgokan sampah sarap.

"Mereka tinggal dalam satu unit rumah yang tidak diketahui siapa tuan empunya. Kebersihan dalam rumah ini sangatlah teruk dengan sampah-sarap, kotoran dan najis kucing.

"Kita tak boleh terima keadaan ini dan atas sebab itu, JKM ambil tindakan segera untuk pindahkan warga emas ini agar kita dapat memantau tahap kesihatan termasuk makan minumnya," katanya.

Sementara itu, jiran Nor Suraya Sakunthala Abdullah, 53, bersyukur apabila kehidupan dua beranak itu mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya.

Katanya, keadaan dua beranak itu semakin teruk sejak setahun lalu apabila warga emas berkenaan uzur dan anaknya pula terpaksa berhenti kerja atas alasan mahu menjaga ibunya.

Ruang memasak turut dipenuhi kesan kotor.
Ruang memasak turut dipenuhi kesan kotor.

"Setiap kali saya masuk rumah mereka, mak cik (Miram) mesti menangis mengenangkan keadaan rumahnya yang sebegitu, walaupun telah menasihati anaknya supaya dibersihkan, keadaan rumah masih sama," katanya.