Tak sempat seludup keluar 42 kenderaan mewah

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarawak mematahkan cubaan menyeludup keluar 42 unit kenderaan mewah import bernilai RM10.2 juta termasuk cukai dari sebuah gudang berlesen Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) Sarawak dalam satu serbuan yang dijalankan pada jam 11.30 pagi semalam.

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Kastam telah membuat pemeriksaan fizikal dan dokumentasi ke atas sebuah premis jualan kereta yang disyaki menyeludup kereta import mewah.

“Hasil pemeriksaan rapi ke atas kenderaan yang terdapat di premis tersebut, pihak syarikat gagal untuk mengemukakan sebarang dokumen yang diperlukan untuk menentusahkan kenderaan tersebut telah berbayar cukai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sharifah berkata, modus operandi syarikat itu adalah dengan menyimpan serta menyembunyikan kenderaan di kawasan parkir rumah ibadat sebagai stor simpanan dengan sewaan tempat sebanyak RM5,000 sebulan sebelum diseludup keluar.

“Selain menjadikan parkir tempat ibadah itu sebagai pameran operasi jualan, kenderaan yang belum berbayar duti dan cukai itu juga siap sedia untuk dijual kepada pengguna dan orang awam,” katanya.

Kesemua kenderaan itu kemudian disita dan dibawa ke Ibu Pejabat Penguatkuasaan Kuching untuk simpan selamat dan siasatan lanjut, manakala seorang individu ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 75 Akta Kastam 1967. - Bernama

Artikel Berkaitan: