Kenyataan Tun M cubaan jejaskan fabrik sosial

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Muhammad Kamil
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Muhammad Kamil
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa masyarakat India di Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara tidak lebih dari sekadar cubaan untuk menjejaskan fabrik sosial.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, ia berikutan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri yang paling lama berkuasa, sepatutnya mempunyai kesempatan untuk memaksa rakyat mengikut kepercayaannya namun tidak pernah dilaksanakan.

“Melayu ikut tafsiran perlembagaan harus juga Islam. Memaksa orang lain untuk mengikut kepercayaan kita tidak lebih sekadar mencerminkan sikap otoritarian.

"Jadi ucapan itu tidak lebih dari sekadar cubaan untuk menjejaskan fabrik sosial.

“Eloklah dilantik sebagai penasihat 'State-Goverment 4' (SG4),” katanya dalam hantaran menerusi platform X pada Rabu.

Dr Mahathir sebelum ini dilapor mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih 'terikat' dengan negara asal mereka.

Pandangan itu disuarakan beliau dalam temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV.

Pada Selasa, Dr Mahathir sedia berjumpa dengan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang seperti mana dicadangkan susulan kenyataan beliau berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ujar Muhammad Kamil, sejarah membuktikan bahawa Dr Mahathir adalah manusia ‘terpaling’ Melayu dan setia kepada raja serta negara.

“Kini Tun M mempertikai kesetiaan orang lain. Jadi cara paling mudah untuk dilihat relevan adalah dengan membangkitkan kenyataan beracun begini.

“Inilah garis politik Tun M pada waktu ini, memecahbelahkan masyarakat,” ujarnya.