MAIK peruntuk RM100,000 laksana Hospital Mesra Ibadah

Tengku Mohamad Rizam (kiri) melakukan simbolik penyerahan cek sumbangan kepada Dr Tengku Annas Fathy (kanan). Foto MAIK
Tengku Mohamad Rizam (kiri) melakukan simbolik penyerahan cek sumbangan kepada Dr Tengku Annas Fathy (kanan). Foto MAIK
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memperuntukkan RM100,000 kepada Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi melaksanakan program Hospital Mesra Ibadah (HMI).

Yang Dipertua MAIK, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pihaknya menyokong usaha menjadikan HRPZ II sebagai hospital pertama di Kelantan mendapat pensijilan HMI.

Kata beliau, HMI juga selari dengan teras dan hasrat utama MAIK memperkasakan pembangunan dan pelaksanaan program dakwah serta

umat yang efektif melalui penggalakan peningkatan penghayatan Islam.

“Peruntukan RM100,000 kepada Jawatankuasa Hospital Mesra Ibadah HRPZ II ini bagi mewujudkan persekitaran mesra ibadah dan membolehkan beberapa aktiviti dakwah kesihatan dapat dilaksanakan.

“Antaranya, penyediaan ruangan HMI di setiap wad dan unit yang berfungsi sebagai rujukan informasi ibadah, doa dan amalan-amalan penting kepada para pesakit, waris serta anggota kesihatan,” katanya selepas Majlis Pelancaran dan Penyerahan Sumbangan Program HMI HRPZ II, di sini pada Rabu.

Tengku Mohamad Rizam (kiri) menyaksikan cara-cara berwuduk bagi pesakit. Foto MAIK
Tengku Mohamad Rizam (kiri) menyaksikan cara-cara berwuduk bagi pesakit. Foto MAIK

Beliau turut menyampaikan replika cek Sumbangan Program HMI dan menyaksikan simulasi tayamum dan wuduk oleh pesakit di HRPZ II, di sini, pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Timbalan Pengarah Perubatan II HRPZ II, Dr Tengku Annas Fathy Tengku Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa HMI HRPZ II.

Menurut beliau, HMI bertepatan dengan misi MAIK dalam memartabatkan Islam dan meningkatkan kesejahteraan serta kemakmuran umat melalui usaha

dakwah, kebajikan dan pembangunan sosio ekonomi masyarakat secara terancang, inovatif serta berterusan.

Katanya, MAIK berbesar hati menjalinkan kerjasama strategik bersama HRPZ II dalam memastikan segala aktiviti-aktiviti dakwah kesihatan di bawah HMI dapat dijalankan dengan lancar dan teratur demi kebaikan para pesakit.

“HMI juga melibatkan penyediaan kit dan troli bagi membantu ibadah pesakit merangkumi debu tayamum, botol penyembur wuduk, sejadah, al-Quran, telekung, tasbih dan buku-buku keagamaan.

“Promosi dan kempen kesedaran HMI juga diperkasakan selain kerja-kerja menaik taraf surau-surau di dalam wad dan klinik akan dilakukan,” kata beliau.

Tambahnya, menerusi HMI juga akan diadakan bengkel pengurusan ibadah pesakit untuk semua anggota kesihatan dan aktiviti keagamaan seperti ceramah dan kursus.