Dua penganggur diberkas kes pecah rumah, curi kenderaan

Anbalagan melihat kenderaan dilaporkan hilang yang berjaya dijumpai semula.
Anbalagan melihat kenderaan dilaporkan hilang yang berjaya dijumpai semula.
A
A
A

SERDANG - Dua penganggur diberkas polis kerana disyaki memecah masuk sebuah rumah dan melarikan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard, di Taman Muhibah, Seri Kembangan di sini, pada 18 November lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya menahan dua suspek berusia 44 dan 55 tahun itu di Bandar Damai Perdana, Balakong pada Isnin.

"Lelaki berusia 44 tahun yang memiliki 13 rekod berkaitan kes pecah rumah, lapan rekod berkaitan Kes dadah itu berperanan sebagai 'mastermind' dan 'striker'.

"Manakala, rakannya yang berusia 55 tahun memiliki 11 rekod berkaitan kes dadah pula berperanan sebagai 'transporter'," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, di sini, pada Rabu.

Anbalagan berkata, modus operandi dua penjenayah itu adalah mensasarkan rumah teres yang mempunyai kenderaan mewah yang berparkir di dalam kawasan kediaman.

"Suspek akan memandu kenderaan dan berhenti di mana-mana rumah secara rawak. Rakannya kemudian akan turun dan menekan loceng rumah beberapa kali.

"Jika tiada penghuni yang keluar, suspek akan pecah masuk dan mengambil barangan berharga, sebelum melarikan kenderaan mewah. Mereka turut menukar nombor pendaftaran kenderaan untuk mengaburi pihak berkuasa," katanya.

Anbalagan berkata, pihaknya berjaya menemui Toyota Alphad yang dilaporkan hilang susulan tangkapan dua suspek itu.

Artikel Berkaitan:

Anbalagan menunjukkan sepucuk pistol yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini pada Rabu.
Anbalagan menunjukkan sepucuk pistol yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini pada Rabu.

"Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu, pihaknya menjumpai dua buah beg yang mengandungi pelbagai alatan pecah rumah yang telah diubah suai.

"Kita turut menjumpai sebilah parang, dua bilah pisau dan sebuah objek yang menyerupai sepucuk pistol di dalam kenderaan tersebut," katanya.

Beliau berkata, hasil soal siasat, salah seorang suspek mengaku melarikan sebuah kenderaan jenis Honda HR-V.

"Kereta yang dilaporkan hilang pada November tahun lalu itu dijumpai di tepi Jalan Damai Perdana 1/5b, Bandar Damai Perdana.

"Kita turut menjumpai sebuah lagi kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV di Wisma Tanjung Balai, Lebuhraya Sungai Besi, kenderaan itu dilaporkan hilang di Kajang," katanya.

Anbalagan berkata, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah.

"Kita berjaya menyelesaikan sembilan kes pecah rumah membabitkan nilai kerugian RM700,000, hasil tangkapan dua lelaki itu. Mereka direman tujuh hari bermula Selasa hingga Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 / 379A Kanun Keseksaan," katanya.