[VIDEO] Suami pukul isteri hamil hingga koma diarah bela diri

A
A
A

JOHOR BAHRU - Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, memerintahkan seorang peniaga membela diri atas pertuduhan memukul bekas isteri ketiganya yang sedang hamil sehingga koma, tiga tahun lalu.

Hakim Fatimah Zahari, memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Rosmaini Abd. Raof, 41 di akhir pendakwaan.

"Selepas meneliti keterangan saksi pendakwaan termasuk dokumen, eksibit dan hujahan bertulis pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie.

"Tertuduh mempunyai tiga pilihan untuk membela diri iaitu pertama, beliau boleh berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan; kedua, beliau boleh memberi kenyataan tidak bersumpah daripada tempat saksi atau memberi keterangan secara bersumpah," ujarnya.

Peguam, T C Lim yang mewakili tertuduh berkata anak guamnya akan memberi keterangan secara bersumpah.

Hakim kemudiannya menetapkan prosiding membela diri pada 24 Januari depan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Bari'ah Jalil.

Artikel Berkaitan:

Keluarga Jahidah berbincang dengan peguam pemerhati sebelum prosiding kes berjalan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu.
Keluarga Jahidah berbincang dengan peguam pemerhati sebelum prosiding kes berjalan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu.

Pada prosiding tersebut, keluarga mangsa, Jahidah Nordin, 43 turut hadir bersama peguam pemerhati Muhammad Hazeem Mohd Norizan.

Pada 17 Jun 2021, Rosmaini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas pertuduhan memukul isteri ketiganya yang sedang hamil sehingga koma.

Lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Jahidah Nordin, 46

Tertuduh didakwa memukul kepala, muka, tangan serta menghentakkan kaki pada belakang tangan sehingga cedera parah.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Seksyen 325 memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun dan denda manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum mengikut seksyen kesalahan.

Rosmaini (kiri) tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru
Rosmaini (kiri) tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru

Sebelum ini, media melaporkan Jahidah yang hamil ketika itu parah selepas dipercayai dipukul suaminya dalam kejadian di rumah mereka di Johor Bahru pada 4 Mei 2021.

Kakitangan sebuah jabatan kerajaan itu kemudian dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar, di sini, selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Jahidah dilaporkan selamat melahirkan bayi lelaki Ehsan Nufail menerusi pembedahan di Hospital Tuanku Ja’afar, pada 1 Disember 2021.

Pada 15 Mac tahun lalu, Mahkamah Syariah Seremban membenarkan permohonan fasakh yang dibuat keluarga Jahidah.