AS Roma pecat Mourinho

Jose Mourinho. Foto AFP
Jose Mourinho. Foto AFP
A
A
A

[DIKEMAS KINI] Jose Mourinho telah dipecat gergasi Itali, AS Roma, umum kelab Serie A tersebut.

Bekas bos Chelsea dan Manchester United itu, yang mengetuai Roma ke final Liga Europa musim lalu selepas memenangi kempen Liga Konferensi Europa sebelum ini, akan meninggalkan kelab tersebut berkuat kuasa serta-merta.

Roma, yang hanya memenangi satu daripada lima perlawanan terakhir Serie A tergelincir ke tangga kesembilan dalam liga berkata di laman web rasmi: “AS Roma boleh mengesahkan bahawa Jose Mourinho dan kakitangan kejurulatihannya akan meninggalkan kelab itu berkuat kuasa serta-merta.”

Pemilik kelab, Dan dan Ryan Friedkin menambah: “Kami ingin ucap terima kasih kepada Jose bagi pihak kami semua di AS Roma atas semangat dan usahanya sejak ketibaannya di kelab.

“Kami akan sentiasa mempunyai kenangan indah tentang tempoh Jose di Roma tetapi kami percaya bahawa perubahan segera adalah demi kepentingan terbaik kelab.”

Mourinho sebelum ini menggantikan Paulo Fonseca sebagai pengendali Roma pada Mei 2021 membimbing kelab itu ke tangga keenam liga dan gelaran Liga Konferensi pada musim pertamanya.

Roma menamatkan saingan di tempat keenam Serie A sekali lagi musim lalu, mara ke final Liga Europa di Budapest, namun tewas 1-4 menerusi sepakan penalti kepada Sevilla selepas seri 1-1.

Mourinho memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan tiga Piala Liga sepanjang dua tempoh mengendalikan Chelsea selepas memenangi Liga Juara-Juara bersama kelab Portugal, FC Porto.

Artikel Berkaitan:

Pengendali berusia 60 tahun itu juga memenangi Liga Juara-Juara bersama Inter Milan, meraih gelaran LaLiga bersama Real Madrid, memenangi Liga Europa bersama Manchester United dan mengambil alih tugas di Roma selepas pemergiannya dari Tottenham.