Kane, Bayern tambah lagi derita Manchester United

Kane - Foto Agensi
Kane - Foto Agensi
A
A
A

HARRY Kane meneruskan prestasi cemerlang bersama Bayern Munich ketika juara Bundesliga Jerman itu menambah penderitaan Manchester United dengan kemenangan, 4-3 dalam aksi Kumpulan A Liga Juara-Juara di Allianz Arena pada Khamis.

Manchester United bertandang ke Jerman diiringi prestasi buruk dan pelbagai isu di luar padang dijinakkan kelab Bayern yang kini memenangi 20 perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara.

Sebagai rekod, tumbang di Munich merupakan kekalahan keempat dalam enam perlawanan bagi semua kejuaraan United selepas kekalahan memalukan 1-3 di Old Trafford kepada Brighton dalam Liga Perdana Inggeris pada hujung minggu lalu.

Gol Bayern Munich dijanakan Leroy Sane (m-28), Serge Gnabry (m-32), Kane (m-53 penalti sebelum pemain gantian Bayern, Mathys Tel meledak gol keempat tuan rumah pada masa tambahan.

United yang berusaha menjadikan Allianz Arena medan kebangkitan merapatkan defisit hasil jaringan Rasmus Hojlund (m-49) sebelum Casemiro menyumbang dua gol pada minit ke-88 dan m-95.

"Ya, kami kehilangan sedikit tumpuan di sana dalam lima minit terakhir perlawanan berintensiti tinggi ini.

"Namun syukur kami dapat mengekalkan pendahuluan. Ia sentiasa hebat untuk menjaringkan gol. Sentiasa ruang untuk penambahbaikan selepas ini.

"Sangat baik malam ini, kami memulakan musim dengan baik dan kami boleh meningkat dalam beberapa bahagian tetapi saya rasa kami sedang membina ke arah itu," kata Kane, yang kini telah menjaringkan lima gol untuk Bayern sejak menyertai dari Tottenham Hotspur.

Artikel Berkaitan:

Keputusan di laman sendiri itu menyaksikan juara Eropah enam kali Bayern mendahului Kumpulan A selepas Galatasaray dan FC Copenhagen seri 2-2 di Istanbul.

Sementara itu, United pula akan melawat Burnley pada hujung minggu, dengan perlawanan kedua Liga Juara-Juara di Old Trafford menentang kelab Türkiye, Galatasaray bulan depan

Dalam pada itu, penjaga gol berprestij Manchester United, Andre Onana berkata, "Selepas kesilapan saya, kami hilang kawalan permainan. Ia adalah situasi yang sukar untuk kami, bagi juga saya...

"Pasukan berdepan satu kekalahan kerana kesilapan saya itu. Saya perlu belajar daripadanya dan menjadi kuat."

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!