China tambah lagi tawaran 1,000 biasiswa kepada lepasan TVET

Ahmad Zahid berucap pada majlis perasmian Program TVET Place and Train UTeM@KPT di Dewan Canselori UTeM pada Selasa. Foto Bernama
Ahmad Zahid berucap pada majlis perasmian Program TVET Place and Train UTeM@KPT di Dewan Canselori UTeM pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan China menawarkan tambahan 1,000 biasiswa lagi kepada lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk menjalani latihan di negara itu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pelajar terpilih akan menjalani latihan dalam pelbagai bidang kemahiran antara tiga bulan hingga satu tahun di negara Tembok Besar itu yang merupakan antara sebahagian daripada 'Belt and Road Initiative (BRI)'.

"Kerajaan China akan membiayai 100 peratus kursus termasuk kemudahan dan lain-lain. Ini satu tawaran yang baik dan penempatan ini dibahagi-bahagikan antara institusi TVET yang ada.

Ahmad Zahid (tengah) menandatangani plak gimik pelancaran Akademi TVET Wanita@UTeM di Dewan Canselori UTeM pada Selasa. Foto Bernama
Ahmad Zahid (tengah) menandatangani plak gimik pelancaran Akademi TVET Wanita@UTeM di Dewan Canselori UTeM pada Selasa. Foto Bernama

"Mereka cuma meminta supaya tiket kapal terbang sahaja yang dibiayai oleh pelajar-pelajar dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan biayai tiket pergi dan balik untuk pelajar-pelajar TVET kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Program TVET Place & Train UTeM@KPT di Dewan Canselori, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal di sini pada Selasa.

Beliau turut berkata, biasiswa berkenaan akan diagih-agihkan antara Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia agar ia memberi manfaat kepada semua.

Ahmad Zahid berkata, pelajar berkenaan akan menjalani latihan dalam bidang teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV), bateri, keselamatan siber dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam ucapannya, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata ekosistem TVET di negara ini amat kompleks.

Beliau berkata, justeru ia memerlukan pengurusan dan kemahuan politik yang tinggi daripada semua menteri yang terlibat di dalam Majlis TVET Negara (MTVET) agar ia mampu menjadi pemangkin utama melonjakkan sosioekonomi negara.

"TVET akan memperkukuh dan memperkasa negara kita untuk menangani isu-isu dari segi penggunaan tenaga kerja dari luar negara," katanya.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan serta institusi pendidikan perlu melihat tumpuan terhadap bidang-bidang tertentu dengan perkembangan teknologi semasa agar negara tidak ketinggalan.

"Kita harus tahu dahulu masyarakat menganggap TVET sebagai bidang sampingan atau kelas kedua, (namun) insya-Allah dengan gaji premium dan nilai tambah ditawarkan saya yakin TVET akan jadi pilihan utama kepada pelajar-pelajar sekolah menengah kelak.

"Saya akhirnya mengharapkan kita bersama-sama melangkah ke hadapan bagi menerobos bidang baharu seperti aeroangkasa, pembinaan kapal, teknologi rel, robotik, keselamatan siber dan bidang-bidang lain," katanya. - Bernama