KESA FC digugurkan dari Liga TFL

Tangkap layar video tular menunjukkan pergaduhan berlaku antara pasukan KESA FC dan NAG FC pada aksi perlawanan di padang sintetik Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT), Gong Badak, di Kuala Nerus, Jumaat lalu. (Gambar kecil: Hishamuddin)
Tangkap layar video tular menunjukkan pergaduhan berlaku antara pasukan KESA FC dan NAG FC pada aksi perlawanan di padang sintetik Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT), Gong Badak, di Kuala Nerus, Jumaat lalu. (Gambar kecil: Hishamuddin)
A
A
A

PASUKAN KESA FC digugurkan dari Liga Terengganu Football League (TFL) 2023 selepas terbabit dalam insiden pergaduhan ketika perlawanan menentang NAG FC di padang sintetik Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT), Gong Badak, di sini pada Jumaat lalu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti laporan penuh dalam mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib TFL pada Isnin.

Jelas beliau, penggantungan pasukan itu berkuatkuasa dari tarikh surat dikeluarkan dan semua perlawanan melibatkan KESA FC tidak akan diambil kira.

"PBSNT tidak campur tangan dalam keputusan ini kerana mereka (TFL) ada peraturan dalam penganjuran perlawanan dan mempunyai bukti lengkap, saya serahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa tatatertib TFL untuk menentukan hukuman sewajarnya.

"Kita menyokong penuh keputusan yang dicadangkan dan kita harap ia menjadi pengajaran penting untuk semua pasukan yang terlibat dalam mana-mana perlawanan bola sepak di Terengganu agar kejadian sama tidak lagi berulang," katanya.

Hishamuddin ditemui pemberita selepas merasmikan penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi Daerah Kuala Nerus di Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini pada Selasa.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri berkata, pasukan KESA FC didapati bersalah atas kecuaian mengawal pemain dan pegawai pasukan berkenaan sehingga menyebabkan berlaku insiden pergaduhan tersebut.

"Keputusan ini diambil selepas merujuk kepada pegawai-pegawai perlawanan, meneliti rakaman video dan peraturan TFL 2023 dan perkara 30.5 melibatkan perlakuan ganas, perlakuan tidak tertib pemain pegawai dan penonton.

Artikel Berkaitan:

"KESA FC didapati gagal mengawal pemain atau pegawainya dari melakukan tindakan ganas sehingga mendatangkan kecederaan parah kepada beberapa pemain dan pegawai pasukan lawan.

"Kesalahan itu juga dalam tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Terengganu dan disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya.

Sabtu lalu Sinar Harian melaporkan beberapa individu termasuk pegawai pasukan bola sepak cedera dalam pergaduhan ketika perlawanan Liga Bolasepak Terengganu (TFL).

Difahamkan, pergaduhan itu tercetus sebelum perlawanan antara kelab NAG FC dengan KESA FC tamat dengan NAG FC mendahului 4-1 pada kejohanan edisi kedua tersebut.