Lebih RM34 juta denda sebab denggi, rokok

KKM keluarkan 36,426 kompaun bernilai lebih RM18 juta sepanjang tahun lalu bagi tujuan pencegahan dan kawalan penyakit demam denggi.
KKM keluarkan 36,426 kompaun bernilai lebih RM18 juta sepanjang tahun lalu bagi tujuan pencegahan dan kawalan penyakit demam denggi.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan kompaun bernilai lebih RM34 juta bagi kesalahan berkaitan denggi dan rokok sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, daripada jumlah itu, 36,426 kompaun bernilai RM18.213 juta bagi kesalahan denggi manakala RM16.39 juta untuk 63,039 kompaun berkait rokok.

Menurutnya, bagi kesalahan disebabkan denggi, 4,264 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah manakala 911 kes disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda RM2.35 juta.

“Bagi bulan Disember sahaja, melalui tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 bagi tujuan pencegahan dan kawalan penyakit demam denggi, sejumlah 2,470 tawaran kompaun bernilai RM1.24 juta telah dikeluarkan dengan purata RM500 setiap kompaun.

“Sejumlah 426 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah dan dalam masa yang sama sebanyak 48 kes telah disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda RM188,550,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, bagi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, daripada 14,122 premis telah dilawati sepanjang Disember 2023 dengan sejumlah 4,423 notis kesalahan dikeluarkan.

Ujar beliau, sebanyak 4,860 juga kompaun telah ditawarkan dengan nilai RM1.2 juta.

“Bagi tempoh Januari sehingga Disember 2023, daripada 246,982 premis yang dilawati, sejumlah 112,455 notis kesalahan dikeluarkan.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 63,039 kompaun telah ditawarkan dengan nilai RM16.39 juta,” jelasnya.

Tambah Dr Muhammad Radzi, bagi tindakan penguatkuasaan Akta Makanan 1983, sebanyak 2,837 premis makanan telah diperiksa sepanjang Disember tahun lalu.

Katanya, jumlah premis makanan yang diberi perintah penutupan sementara di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 adalah 79 premis iaitu 2.78 peratus daripada keseluruhan premis makanan yang diperiksa.

“Sepanjang tahun lepas, sebanyak 104,925 premis makanan telah diperiksa.

"Jumlah premis makanan yang diberi perintah penutupan sementara di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 adalah 2,242 premis iaitu 2.14 peratus daripada keseluruhan premis makanan yang diperiksa.

“Tindakan penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan oleh KKM adalah sebagai suatu langkah menjamin kebersihan premis serta makanan yang dihidangkan,” jelasnya.

Beliau berkata, KKM sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan untuk kesejahteraan penduduk Malaysia dan ini termasuk mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang kesihatan demi kepentingan kesihatan awam.

Bagaimanapun katanya, tindakan penguatkuasaan merupakan pilihan terakhir yang diambil oleh KKM.

“Orang ramai serta semua pihak diminta untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing agar keberkesanan pelaksanaan aktiviti kesihatan mencapai tahap optimum,” jelas beliau.