Yazan harap dapat kembali warnai semula Liga-M

Yazan (kanan) bersaing dengan pemain Harimau Malaya, Faisal Halim dalam aksi Kumpulan E Piala Asia 2023 di Stadium Al-Janoub, Al-Wakrah. Foto AFP
Yazan (kanan) bersaing dengan pemain Harimau Malaya, Faisal Halim dalam aksi Kumpulan E Piala Asia 2023 di Stadium Al-Janoub, Al-Wakrah. Foto AFP
A
A
A

BEKAS pemain import Selangor FC, Yazan Al-Arab berharap diberikan peluang kedua untuk kembali mewarnai saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada masa depan.

Pemain pertahanan tengah berusia 27 tahun itu, yang membantu Jordan mengejutkan Malaysia 4-0 pada aksi pembukaan Kumpulan E Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menarik balik sekatan seumur hidup dikenakan ke atas dia.

Malah, katanya dia tidak menyimpan dendam terhadap Malaysia berharap Harimau Malaya dapat bangkit dalam baki perlawanan menentang Bahrain dan juara dua kali Korea Selatan.

“Sejujurnya, apa yang berlaku amat sukar bagi saya. Selepas perlawanan menentang Terengganu FC, tiga bulan berikutnya adalah sangat sukar, saat paling sukar dalam hidup saya kerana saya tidak bermain dengan pasukan kebangsaan dan terlepas sekurang-kurangnya lima penampilan antarabangsa.

“Saya amat sedih dengan larangan itu. Saya harap, pada masa akan datang, mereka (FAM) dapat memberi saya peluang sekali lagi untuk bermain di Malaysia semula kerana saya sayangkan semua peminat Malaysia terutama peminat Selangor,” katanya yang kini beraksi bersama kelab Liga Iraq, Al-Shorta SC ketika ditemui selepas perlawanan.

Yazan sebelum ini digantung seumur hidup daripada terbabit dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk dalam urusan pentadbiran, pengurusan, kesukanan bola sepak dan apa juga aktiviti yang bersampingan di Malaysia.

Hukuman dikenakan apabila Yazan menendang pengadil perlawanan, Mohd Hasrol Mohd Amir selepas dilayangkan kad merah setelah aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Terengganu FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), 24 September lalu.

“Saya tahu saya melakukan kesalahan... apabila saya melihat video selepas perlawanan saya berkata itu bukan saya... Saya harap pada masa akan datang semuanya akan baik-baik saja,” katanya.

Artikel Berkaitan: