Penoreh getah maut, gagal elak kereta terbabas

Keadaan Proton Wira dan motosikal selepas terlibat kemalangan di Jalan Besar Pasoh 3, Jempol pada Selasa.
Keadaan Proton Wira dan motosikal selepas terlibat kemalangan di Jalan Besar Pasoh 3, Jempol pada Selasa.
A
A
A

JEMPOL - Seorang penoreh getah maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat nahas dengan sebuah kereta di Jalan Besar Pasoh 3 di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, dalam kejadian jam 8.25 pagi itu, mangsa Hassan Rahmat, 50, beralamat di Kampung Baru Air Hitam maut akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan.

"Kejadian dipercayai berlaku semasa kereta Proton Wira yang dipandu seorang lelaki berumur 22 tahun dari arah Pasoh 3 menuju ke Air Hitam.

"Setiba di lokasi iaitu selepas melepasi selekoh, dipercayai tayar belakang sebelah kanan kereta berkenaan pecah mengakibatkan pemandu tersebut telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ujarnya, dalam masa yang sama, penunggang motosikal dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu telah melanggar kereta terbabit.

"Berikutan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Jempol, manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.

"Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

"Orang ramai atau saksi kejadian diminta tampil menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol, Inspektor Mohd Amirul Syafiq Mohd Yusof di talian 016-2348669 bagi membantu siasatan atau balai polis berhampiran," katanya.

Artikel Berkaitan: