Pemandu Hilux halang laluan ambulans kena tindakan

Tangkap layar kejadian di mana sebuah Toyota Hilux dikatakan tidak memberi laluan kepada ambulans di KM226 Lebuhraya Utara Selatan. Gambar kecil: Mohd Azman
Tangkap layar kejadian di mana sebuah Toyota Hilux dikatakan tidak memberi laluan kepada ambulans di KM226 Lebuhraya Utara Selatan. Gambar kecil: Mohd Azman
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pemandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang tular dipercayai menghalang laluan ambulans di Kilometer 226 Lebuhraya Utara Selatan dari arah Ayer Keroh ke Kuala Lumpur, telah dikenakan tindakan pihak polis.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 12 tengah hari pada 8 Januari lalu.

Menurutnya, satu laporan polis telah dibuat pada jam 1 tengah hari Isnin oleh lelaki tempatan yang juga pemandu ambulans terbabit di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

"Pemandu Toyota Hilux iaitu seorang lelaki tempatan berumur 63 tahun telah dikesan oleh Ketua BSPT IPD Rembau, Negeri Sembilan di mana tindakan telah diambil di bawah Kaedah 9(2) LN.166/59 iaitu tidak memberi laluan kepada kenderaan ambulans.

"Tindakan boleh dihukum di bawah Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ujarnya, pemandu tersebut dikehendaki hadir di Mahkamah Rembau pada 20 Mac depan berkaitan kesalahan terbabit.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan pemandu Toyota Hilux itu dia menyatakan tidak menyedari kenderaan di belakang kerana sedang berbual dengan ahli keluarganya.

Katanya lagi, pihak polis menasihatkan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas yang menekankan kerjasama, berhemah dan berhati- hati semasa berada di atas jalan raya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, dalam Kaedah-Kaedah Lalulintas LN165/59 iaitu Kanun Lebuhraya ada menyatakan Peraturan 24 LN165/59.

"Apabila menghampiri apa-apa kenderaan kecemasan seperti polis, bomba atau ambulans, bunyi siren atau loceng, tatacara pemanduan mestilah masuk ke sebelah kiri atau kanan dan berhenti untuk memudahkan laluan kenderaan kecemasan," ujarnya.

Tambah Mohd Azman, kerjasama adalah elemen penting yang perlu diketahui setiap pengguna jalan raya bagi melancarkan pergerakan lalu lintas.

Pada Isnin, satu rakaman video berdurasi seminit tular memaparkan sebuah Toyota Hilux dikatakan tidak memberi laluan kepada ambulans walaupun siren kecemasan telah dibunyikan beberapa kali.