Kertas Pandora tidak dedah kesalahan Daim - Tommy Thomas

 Tun Dr Daim Zainuddin
Tun Dr Daim Zainuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peguam bagi pihak Tun Dr Daim Zainuddin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa, Kertas Pandora tidak mendedahkan sebarang kesalahan dilakukan bekas Menteri Kewangan itu.

Peguam, Tan Sri Tommy Thomas berkata demikian ketika hujahan permohonan untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman dan mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghentikan penyiasatan terhadap Daim, isteri serta empat anak termasuk Ilham Tower Sdn Bhd.

Ia berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram di hadapan Hakim, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Dalam kes ini, Tommy mewakili Daim, 86, isterinya, Toh Puan Nai’mah Khalid, 67 dan empat anak, Asnida, 63, Md Wira Dani, 46, Muhammed Amir Zainuddin, 29, Muhammed Amin Zainuddin, 26 serta menara itu selaku pemohon pertama hingga ketujuh.

Sementara Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan hadir mewakili SPRM dan pendakwa raya, selaku responden pertama dan kedua.

Semasa hujahan, Tommy berkata, tiada sebab munasabah untuk mengesyaki atau mempercayai bahawa Daim melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Menurutnya, SPRM juga bertindak secara tidak sah apabila mengeluarkan 36 notis kepada pemohon, supaya mendedahkan maklumat mengenai harta mereka.

“Selepas Daim tidak lagi memegang jawatan dalam Kerajaan, barulah siasatan dilakukan, sedangkan 22 tahun telah berlalu.

Artikel Berkaitan:

“Timbul pula maklumat dalam Kertas Pandora, kononnya Daim dan keluarganya kaya-raya, hakikatnya kenyataan itu telah diketahui umum sejak sekian lama,” katanya.

Sementara itu, Shamsul mendakwa, kuasa penyiasatan agensi penguat kuasa ini, tidak boleh dicabar.

Menurutnya, siasatan akan terganggu dan tidak akan selesai jika mahkamah membenarkan semakan kehakiman difailkan pihak terbabit untuk mencabar siasatan agensi tersebut.

“Pelaksanaan fungsi berhubung penyiasatan jenayah tidak boleh dicabar dengan semakan kehakiman.

“Mahkamah (lain sebelum ini) dalam membuat keputusan berkali-kali mengingatkan bahawa dengan membenarkan semakan kehakiman terhadap pelaksanaan fungsi berkaitan penyiasatan jenayah akan membuka banyak ruang untuk mencabar pelaksanaan fungsi yang membawa kepada huru-hara dan kekacauan awam," katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Wan Ahmad Farid menetapkan 4 Mac depan untuk keputusan permohonan itu.

Pada 10 Januari lalu, Daim memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini, untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman dan mengarahkan SPRM menghentikan penyiasatan terhadapnya, isteri serta empat anak termasuk Ilham Tower Sdn Bhd mengaitkan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Pada 22 Disember tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tiada muslihat, niat jahat, pilih kasih atau menyebelahi mana-mana pihak dalam tindakan SPRM menyita bangunan Menara Ilham milik keluarga Daim.

Sementara SPRM pada 30 Disember tahun sama mengesahkan, bekas pemimpin kanan UMNO itu disiasat berdasarkan maklumat Kertas Pandora sejak Februari 2023.

Pada minggu lalu, empat individu berkaitan dengan Daim turut dipanggil memberi keterangan.