PATI hanyut keluar Malaysia secara haram

Hamid
Hamid
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 172 warga Indonesia yang hanyut di perairan Pantai Labu, Deliserdang, Sumatera Utara, Indonesia lebih sehari sebelum diselamatkan nelayan tempatan dipercayai keluar melalui laluan haram dari negara ini.

Difahamkan, mereka hanyut di tengah laut semasa dalam perjalanan pulang ke Indonesia selepas berangkat dari perairan Selangor pada 9 Januari lalu dengan menaiki tongkang.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, mereka keluar melalui perairan negara untuk pulang ke Indonesia.

Katanya, Maritim Malaysia mendapati kesemua mangsa telah menggunakan laluan yang tidak sah untuk pulang ke negara mereka akibat dipercayai memasuki ke negara ini secara haram atau permit telah tamat tempoh.

"Justeru warga asing dinasihatkan supaya melaksanakan urusan kemasukan dan keluar dari negara ini secara sah agar tiada sebarang masalah dihadapi pada masa hadapan.

"Semua warga asing turut diminta tidak terpengaruh dengan mana-mana tekong atau sindiket yang menggunakan laluan tidak sah dan kaedah pengangkutan yang tidak selamat supaya selamat daripada sebarang kejadian kehilangan harta benda dan nyawa," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sebelum itu, Portal Kompas.TV melaporkan kesemua warga Indonesia berkenaan yang bekerja di Malaysia itu dikatakan terpaksa bertahan selama 28 jam di tengah laut di kawasan itu.

Mengulas lanjut, Hamid berkata, pada tahun lalu, seramai 277 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan pihaknya termasuk 104 adalah warga Indonesia.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, bermula tahun ini, Maritim Malaysia mengambil penekanan berbeza di mana operasi secara besar-besaran akan dilaksanakan bagi menangani isu kebanjiran PATI masuk ke negara ini.

"Kita sentiasa melaksanakan pemantauan dan operasi secara berterusan bagi menangani kemasukan pati ke negara ini," ujarnya.