Pan-gon pertahan taktikal

Reaksi pemain Malaysia selepas perlawanan di antara Malaysia menentang Jordan bagi peringkat Kumpulan E sempena Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub hari ini. Foto: Bernama
Reaksi pemain Malaysia selepas perlawanan di antara Malaysia menentang Jordan bagi peringkat Kumpulan E sempena Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon mempertahankan taktikal yang digunakannya ketika tunduk kepada Jordan 0-4 dalam aksi pembukaan Kumpulan E Piala Asia di Stadium Al Janoub, Doha pada awal pagi Selasa.

Taktikal pengendali kelahiran Korea Selatan itu dipertikaikan selepas hanya menggunakan tiga pertahanan untuk menghadapi kekuatan serangan pasukan di ranking ke-87 dunia itu yang menyaksikan gawang negara bolos tiga kali pada separuh masa pertama.

Menurut Pan-gon, beliau boleh menggunakan taktikal bertahan, namun Piala Asia adalah medan terbaik untuk menguji apa yang telah direncana sejak dua tahun lalu.

"Kami melakukan persiapan dengan berani dan melihat ke hadapan untuk menyerang. Tetapi, Jordan jauh lebih kuat daripada apa yang kami sangka.

"Separuh masa pertama kami menghadapi kesukaran kerana berdepan masalah di bahagian pertahanan. Kami tinggalkan banyak ruang, tetapi ini adalah apa yang kami lakukan dalam perlawanan sebelum ini. Cuma, kali ini kami tidak mampu menghalang Jordan.

"Kami merancang sesuatu tetapi ia tidak berhasil. Kami boleh bermain dengan lebih bertahan, tetapi ia tidak membantu untuk masa depan. Kami mahu mencuba apa yang telah diusahakan sejak dua tahun lalu. Ini adalah pengajaran terbaik," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam perlawanan itu, dua gol masing-masing daripada Mahmoud Al-Mardi dan Mousa Al-Taamari meranapkan harapan permulaan cemerlang skuad kendalian Pan-gon itu selepas 43 tahun berjaya layak secara merit ke kejohanan tertinggi Asia.

Selepas ini, skuad negara akan berdepan Bahrain pada Sabtu sebelum bertemu Korea Selatan lima hari selepas itu.

Artikel Berkaitan: