Henti berangan jatuhkan kerajaan - Amanah

Muhammad Faiz
Muhammad Faiz
A
A
A

KUALA NERUS - Pas diminta hentikan tindakan memberi bayangan seakan kerajaan akan ditukar dalam masa terdekat kerana ia menimbukan keresahan dalam kalangan rakyat.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil menegaskan perkara itu tidak berlaku kerana Kerajaan Perpaduan yang ditadbir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih kukuh dan stabil.

Beliau mendakwa tindakan menjaja naratif pertukaran kerajaan itu menunjukkan Pas merupakan sebuah parti ekstrem selain tidak menghormati keputusan rakyat Malaysia melalui Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

"Apabila mainkan isu tentang pertukaran kerajaan, Langkah Dubai dan sebagainya...ini menunjukkan sikap yang ekstrem.

Pas tak ada satu sikap yang 'moderate' (sederhana) kerana tidak hormat keputusan pilihan raya, tidak hormat struktur perlembagaan, tidak hormat sistem perundangan atau sistem sebuah negara itu berfungsi.

"Jadi sikap ekstrem Pas ini perlu ditolak oleh rakyat Malaysia.

Sudah-sudahlah Pas dengan angan-angan dia... sandiwara dia, helah dia.

"Semuanya tidak wujud kerana mereka hanya bermain dengan sentimen kerana ia timbulkan keresahan pada rakyat dan ini bukan satu perkara yang baik pada negara," katanya kepada pemberita selepas sebuah program diadakan di Bangunan Canselori Universiti Malaysia Terengganu dekat sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung keyakinan Pas tentang berlakunya pertukaran kerajaan dalam masa terdekat seperti yang diumumkan beberapa pemimpinnya baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz mendakwa Pas juga telah mendidik penyokongnya untuk menjadi ekstrem selain berpolitik sepanjang masa tanpa menghiraukan nasib rakyat di akar umbi.

Katanya, parti itu sepatutnya memberi fokus sebagai pembangkang yang efisien dalam pembangunan negara.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz menyatakan pemimpin politik perlu memastikan Malaysia menjadi sebuah negara maju selain mampu menjaga kebajikan rakyat.

"Kerajaan Perpaduan adalah kerajaan yang stabil. Beri masa untuk kita laksanakan program, agenda dan selesaikan masalah rakyat serta bangunkan negara.

"Pada masa sama, hentikan angan-angan nak tukar kerajaan, jangan teruskan sikap ekstrem.

Ini kerana Pas dah janji pada penyokongnya mereka akan jadi kerajaan.

"Jadi apabila tak jadi kenyataan, mereka tak tahu bagaimana nak sorok muka dan sekarang makin terdesak dengan naratif yang mereka sendiri mulakan," dakwanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!