Gubal undang-undang pastikan kerajaan kekal hingga akhir penggal - Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Foto fail Bernama
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya satu rang undang-undang bagi mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir negara sehingga ke akhir penggal dibentangkan di Parlimen.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, ia bagi memastikan peristiwa terdahulu seperti pertukaran perdana menteri sebanyak tiga kali pada penggal Parlimen ke-14 tidak berulang pada masa hadapan.

"Kesannya (ketika itu) adalah kepada rakyat apabila pertumbuhan ekonomi kita tidak dapat dipertingkatkan. Kebetulan turut mengalami Covid-19, pengalaman yang cukup pahit untuk negara kita kerana pelabur perlukan kestabilan politik.

"Saya ingin menyarankan supaya satu rang undang-undang dibentangkan bahawa jika sesebuah kerajaan itu diwujudkan sama ada atas sesebuah parti dominan atau gabungan parti dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, maka ia harus kekal hingga ke akhir penggal.

"Jika tidak, akan mengalami (berulang) perkara terdahulu dan ia tidak baik untuk negara dan rakyat secara keseluruhanannya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Bengkel Pemukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di sini pada Sabtu.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian sebagai merujuk kepada gerakan 'Langkah Dubai' yang dikatakan bertujuan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, harus ada perubahan dalam minda ahli politik bahawa sesuatu gabungan parti politik yang telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan, mestilah diberi laluan mentadbir negara sehingga penggal terakhir Parlimen.

"Kita (ahli politik) harus bertindak dan berfikiran positif dalam perkara ini (saranan rang undang-undang itu). Biarpun politik itu sangat dinamik dan pragmatik, dalam hal ini kita harus lebih praktikal untuk menjaga sebuah negara.

Artikel Berkaitan:

"Boleh berbeza pendapat, tetapi untuk kepentingan negara, kita tidak harus menjadikan rakyat sebagai satu bahan uji kaji demi kepentingan nafsu politik dalam kalangan ahli politik. Cukuplah untuk kita belajar daripada pengalaman yang lalu," katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan juga perlu terus dipertahankan kerana kestabilan politik wujud di bawah pentadbiran kerajaan yang telah dibentuk atas titah perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pasca Pilihan Raya Umum ke-15. - Bernama