Pemimpin perlu beradab, beri contoh baik kepada rakyat - Saifuddin

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Foto Bernama
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Mana-mana pemimpin di negara ini dinasihatkan tidak menggunakan perkataan kurang sopan seperti 'barua' ketika membuat kenyataan, sebaliknya memilih ungkapan lebih beradab.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemilihan perkataan sangat penting bagi seorang pemimpin dalam memberi contoh yang baik kepada rakyat.

"Saya Muslim, agama mengajar saya akhlak adab akidah syariah. Jadi pemilihan untuk berkata-kata ini saya fikir biar kita hati-hati dan perkataan-perkataan yang seumpama itu (barua) ka, ungkapan yang baharu atau sebelumnya kita elakkan daripada memilih ungkapan itu.

"Pertama kerana dia tak memberikan gambaran bahawa seorang pemimpin itu harus menunjukkan sikap yang lebih cantik kepada rakyat, itu lebih kondusif saya fikir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi lawatan kerja ke projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedah/ Anak Bukit, di sini pada Isnin.

Beliau berkata sedemikian ketika mengulas laporan media bahawa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengingatkan agensi kerajaan supaya tidak menjadi 'barua' kepada pihak yang memiliki kepentingan politik.

Saifuddin berpandangan, ungkapan kurang sopan seumpama itu harus dielakkan bagi menjaga hubungan yang baik dengan kerajaan Persekutuan termasuk agensi berkaitan pada masa depan.

"Seorang pemimpin tu harus menunjukkan sikap yang lebih cantik lah itu lebih kondusif. Saya fikir untuk menjaga hubungan ke depan nanti ya itu lebih baik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengenai kenyataan terbaharu penulis blog kontroversi, Raja Petra Raja Kamarudin, Saifuddin berkata, individu terbabit sudah tidak mempunyai wibawa atau kredibiliti untuk diberi sebarang ulasan.

“Saya berkaitan (Raja Petra) tak mahu ulas apa-apa, keadaan tidak mengubah apa-apa fakta bahawa dia membawa diri ke sana (United Kingdom) setelah pelbagai proses tindakan mahkamah, beberapa penghakiman awal ke atas beliau.

"Hakikat bahawa beliau memilih untuk berada di negara lain berbanding dengan untuk berdepan dengan undang-undang itu menceritakan segala-galanya. Dari segi itu, saya tak fikir dia ada kredibiliti lagi untuk layak kita bagi ulasan dalam suasana sekarang. Biar kita urus negara kita dengan baik, jaga kebajikan rakyat daripada kita ‘terkalih’ mengulas hal dia," katanya.

Beliau menambah, individu terbabit sudah memiliki beberapa keputusan mahkamah, malah ia boleh dicapai melalui carian Google.

Raja Petra dalam blognya semalam menasihatkan kerajaan dan Ketua Polis Negara menyemak terlebih dahulu kesahihan undang-undang sekiranya mahu menangkap atau mendakwanya atas tuduhan menghasut atau memfitnah berhubung Langkah Dubai.