Akta Kebebasan Maklumat digubal beri akses kepada rakyat - PM

Anwar mempengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) pada Khamis.
Anwar mempengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) bersetuju penggubalan Akta Kebebasan Maklumat dengan mewujudkan parameter dan garis panduan bagi memberi akses maklumat kepada rakyat berkaitan badan awam serta kerajaan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selaras dengan keputusan tersebut, Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) juga akan dipinda bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam dapat dipertingkat dan menggalakkan penglibatan rakyat dalam proses pembentukan dasar negara.

"Mesyuarat juga bersetuju untuk menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan bagi memperkasa tata kelola perolehan Kerajaan secara perundangan.

"Ia bertujuan meningkatkan kebertanggungjawaban pihak yang terlibat dalam perolehan Kerajaan. Selain itu, prinsip ketelusan diambil kira dalam RUU Perolehan Kerajaan yang bakal digubal dengan mewujudkan mekanisme aduan dan bantahan selaras dengan piawaian antarabangsa," katanya dalam Facebook pada Khamis.

Menurut Anwar, pihaknya turut mengambil maklum mengenai 18 resolusi hasil daripada dua sesi Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 dan 2023, yang mengemukakan syor penambahbaikan daripada sudut perundangan dan dasar berkaitan tata kelola, integriti serta antirasuah.

Jelas beliau, resolusi itu akan diteliti untuk dijadikan input dalam pembangunan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) yang baharu.

"Bagi memastikan anak syarikat yang ditubuhkan di bawah Badan Berkanun ditadbir dengan lebih profesional berlandaskan prinsip tata kelola baik, aspek pengawasan perlu diberi perhatian.

"Mesyuarat juga bersetuju supaya rangka kerja perundangan sedia ada dan baharu diteliti ke arah pengamalan tata kelola baik dalam kalangan entiti yang mempunyai kepentingan kerajaan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, perbincangan persidangan hari ini berkaitan komitmen negara untuk terus memperkasa tata kelola dalam sistem Pentadbiran kerajaan.

Tambahnya, ia menumpukan usaha untuk meningkatkan kemampanan tata kelola khususnya melalui dua anjakan utama iaitu tata kelola rangka kerja institusi dan perundangan berkaitan rasuah.

"Komitmen ini selari dengan iltizam kerajaan untuk memperkukuhkan tata kelola sepertimana yang dibentangkan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) pada 11 September lalu," katanya.